Rabu, 5 Ogos 2020 | 6:49pm
Gula perang keluaran Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR)
Gula perang keluaran Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR)

CSR sedia jadi peneraju gula perang berkualiti

KUALA LUMPUR: Kemudahan pengeluaran baharu Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) di Padang Terap, Kedah sudah disiapkan dan sedia untuk mengeluarkan gula perang dikenali 'Better Brown' dan 'Commercial Brown' untuk pengguna tempatan serta antarabangsa.

Ketua Pegawai Operasinya, Victor Ng, berkata misi CSR adalah untuk menjadi peneraju dalam penyelesaian gula mapan merentasi industri.

Beliau berkata, sebagai sebahagian strategi itu, CSR akan terus melabur dalam memodenkan kemudahan pengeluarannya di Shah Alam, Selangor dan Padang Terap, Kedah untuk mengeluarkan produk inovatif yang memenuhi keperluan pengguna.

"Yang pertama adalah spesifikasi buatan di Malaysia iaitu 'Better Brown', gula rendah glisemik, gula pilihan yang lebih sihat. Kedua adalah spesifikasi komersial baharu dikenali 'Commercial Brown', sesuai untuk pelanggan industri yang mencari gula perang berkelembapan rendah, berpatutan, konsisten untuk digunakan dalam jenama makanan dan minuman mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Jenama 'Better Brown' sangat berjaya di Malaysia dengan menguasai sehingga 33 peratus pasaran gula perang.

CSR juga baru-baru ini melancarkan 'Better Brown' di Singapura dan mula mengeksport ke pasaran antarabangsa lain. Kedua-dua produk dibangunkan dengan kerjasama rakan teknologi ekslusifnya, Nutrition Innovation.

Ng berkata, CSR kini berada dalam kedudukan selesa untuk menerajui serantau dan menembusi Asia Barat dalam inovasi gula dengan 'Commercial Brown' dan 'Better Brown'.

Beliau berkata, CSR sudah membangunkan kapasiti untuk mengeluarkan sehingga 8,000 tan sebulan dan sudah melihat minat dan permintaan yang tinggi daripada industri.

Berita Harian X