Selasa, 4 Ogos 2020 | 6:24pm
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)

Mitsubishi jual 4,008 unit kereta di Malaysia tahun ini

KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia mencatat jualan 4,008 unit bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Berdasarkan prestasi positif itu, ia menyaksikan penguasaan pasaran syarikat meningkat daripada kepada 1.7 peratus bagi tempoh dikaji berbanding 1.4 peratus tempoh sama tahun lalu.

MMM dalam satu kenyataan berkata, Mitsubishi Triton mencatatkan 22.2 peratus penguasaan pasaran dalam tempoh Januari hingga Julai 2020, meningkat daripada 16.9 peratus dalam tempoh yang sama 2019.

"Triton kini menduduki tempat pertama dalam segmen trak pikap "double-cab" di tiga negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Kedah," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi, berkata MMM gembira melihat jualan yang positif itu selepas terjejas oleh pandemik COVID-19, situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.

"Ini didorong terutamanya oleh 100 peratus pengecualian cukai jualan daripada kerajaan yang diguna pakai untuk kenderaan utiliti sukan (SUV), ASX Compact dan Outlander pemasangan tempatan (CKD).

"Jualan positif ini juga memperlihatkan kesetiaan jenama dan pelanggan dalam tempoh yang sukar ini," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X