Khamis, 30 Julai 2020 | 1:37pm
Foto: AFP
Foto: AFP

Huawei atasi Samsung sebagai penjual telefon pintar terbesar dunia

KUALA LUMPUR: Pengeluar telefon pintar terkemuka China, Huawei mengatasi Samsung Electronics sebagai penjual telefon pintar terbesar dunia pada suku kedua 2020, demikian mengikut perangkaan terkini Canalys.

Perangkaan terkini firma penyelidik itu menunjukkan Huawei menghantar 55.8 juta telefon pintar pada suku kedua 2020 berbanding Samsung dengan mencatatkan penghantaran 53.7 juta peranti pintar itu.

Namun, jualan yang dicatatkan Huawei pada suku dikaji itu jatuh lima peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Sementara pengeluar telefon pintar Korea Selatan pula mencatatkan kejatuhan jualan yang lebih besar iaitu 30 peratus berikutan gangguan penularan COVID-19 di dalam pasaran utama seperti Brazil, Amerika Syarikat dan Eropah, demikian kata Canalys.

Penghantaran luar negara Huawei jatuh 27 peratus pada suku kedua 2020 berbanding suku sama tahun lalu, tetapi penguasaan syarikat itu dalam pasaran China mencatatkan pemulihan pantas daripada COVID-19 dengan ia kini menjual lebih 70 peratus telefon pintarnya. - Agensi

Berita Harian X