Jumaat, 17 Julai 2020 | 8:21pm

Naim Holdings cadang jual tanah RM340 juta di Bintulu

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Naim Holdings Bhd, Petrochemical Hub Sdn Bhd memeterai perjanjian jual dan beli dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi cadangan penjualan dua bidang tanah kosong dengan keluasan kira-kira 405.6 hektar di Bintulu, Sarawak dengan harga RM340 juta.

Syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, tanah yang terletak di kawasan Perindustrian Kidurong itu terdiri daripada dua tanah bersebelahan antara Kemudahan Penerimaan Luar Pantai Bintulu, Laut China Selatan, sepanjang jalan menuju ke Kem PLKN Similajau dan Saluran Paip Gas Petronas.

Penjualan tanah kepada SEDC, sebuah agensi negeri, akan membolehkan negeri itu menerajui pembangunan hab petrokimia di rantau ini dan seterusnya merangsang dan meningkatkan ekonomi negeri serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, kata syarikat itu.

"Kumpulan ada juga menimbang pilihan alternatif membangunkan tanah itu. Walaupun pilihan alternatif itu mungkin akan memperoleh pulangan yang lebih baik, tawaran daripada pembeli akan membolehkan kumpulan memanfaatkan nilai segera daripada pelaburannya bagi tanah terbabit.

"Cadangan pembayaran RM340 juta itu adalah adil dan berpatutan memandangkan pasaran terhad bagi tanah sebesar itu, dengan mengambil kira lokasi serta nilai pasaran tanah berkenaan," kata syarikat itu.

Cadangan penjualan itu juga akan menyediakan modal kerja bagi operasi sedia ada dan masa depan kumpulan terutama dalam rancangannya membangunkan kira-kira 2,500 rumah mampu milik dan pintar dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai sebahagian daripada impian besar 25 tahunnya menyediakan satu juta rumah kepada masyarakat. - BERNAMA

Berita Harian X