Rabu, 15 Julai 2020 | 10:03pm
Media Prima Bhd
Media Prima Bhd

Media Prima operasi di tiga lokasi, tingkat kecekapan

KUALA LUMPUR: Media Prima menjelaskan rancangan untuk menggabungkan operasinya kepada tiga lokasi iaitu Sri Pentas, Balai Berita 2 Shah Alam (BB2) dan Glenmarie Studios Shah Alam (Glenmarie Studios) bagi menepati keperluan aliran serta kecekapan ruang kerja.

Dalam kenyataannya menjelaskan laporan sebuah portal berita, Media Prima berkata, seperti diumumkan pada 4 Jun lalu, ia sedang melaksanakan fasa berikutnya pelan transformasi kumpulan yang disasar akan meletakkannya pada model perniagaan yang mantap serta mapan untuk jangka sederhana hingga panjang.

Katanya, kumpulan sedang melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos membabitkan perubahan operasi bagi menangani ketidakcekapan kos daripada pertindihan kerja.

"Berdasarkan kecekapan aliran kerja yang bertambah baik, adalah ditentukan bahawa Media Prima tidak memerlukan kapasiti ruang sedia ada," katanya.

Selain Sri Pentas, BB2 dan Glenmarie Studios, Media Prima ketika ini turut beroperasi di Balai Berita 1 Bangsar (BB1).

Jumlah ruang pejabat dan studio bagi keempat-empat lokasi adalah melebihi sejuta kaki persegi, iaitu melebihi ruang yang diperlukan.

Media Prima berkata, adalah perlu ditegaskan bahawa ia memeterai perjanjian jual dan sewa balik bagi BB1 dan BB2 bersama PNB Development Sdn Bhd pada 2018.

"Berikutan itu, sebarang langkah untuk menggabungkan operasi Media Prima dan mengosongkan BB1 perlu dirundingkan dan dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak berdasarkan terma serta syarat perjanjian jual dan sewa balik berkenaan," katanya.

Berita Harian X