Selasa, 14 Julai 2020 | 8:13pm
Glomac Bhd
Glomac Bhd

Glomac raih untung bersih RM37.2 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Glomac Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2020 meningkat kepada RM37.2 juta berbanding RM14.7 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2019 sebelum pelarasan RM24.6 juta kerugian nilai wajar ke atas pelaburan hartanah.

Bagi tahun kewangan dikaji, Glomac mencatatkan pendapatan RM245.8 juta, kebanyakannya dipacu oleh kemajuan pembinaan fasa sedia ada di Saujana Perdana dan Saujana Rawang, selain Plaza@Kelana Jaya.

Sehubungan itu, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen peringkat tunggal akhir 1.0 sen bagi setiap saham biasa bergantung kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.

Dalam kenyataannya, Glomac berkata kumpulan mencatatkan jualan baharu RM385 juta, meningkat 19 peratus berbanding tahun kewangan 2019.

Ia berkata, peningkatan prestasi jualan itu khususnya dipacu oleh kejayaan pangsapuri servis 121 Residences dan fasa kediaman mampu milik di Saujana Perdana.

"Prestasi jualan kukuh dalam tahun dikaji dirangsang oleh jualan belum dibilkan sebanyak RM650 juta setakat 30 April 2020, peningkatan 37 peratus daripada RM476 juta pada tahun kewangan 2019.

"Prestasi jualan dan kewangan terpuji semasa tahun kewangan 2020 dicapai daripada gabungan produk yang menarik dan kekuatan pembangunan Glomac, yang secara strategik disasar kepada segmen pertengahan serta mampu milik," kata pemaju perumahan itu.

Fasa sedia ada projek pembangunan Glomac, seperti Lakeside Residences dan Saujana Perdana, terus mendapat sambutan.

Tawaran produk kediaman bertingkat kumpulan seperti Plaza@Kelana Jaya

dan 121 Residences dilancarkan dengan jayanya serta diterima baik oleh pasaran.

Berita Harian X