Selasa, 14 Julai 2020 | 3:34pm
Panel solar PV yang dipasang di cawangan Tesco akan secara kolektif menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun - Foto ihsan Tesco
Panel solar PV yang dipasang di cawangan Tesco akan secara kolektif menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun - Foto ihsan Tesco

Tesco pasang panel solar PV di 15 cawangan

KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) dan NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS), syarikat usaha sama PETRONAS dan NEFIN Group, memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) jangka panjang terbesar untuk tenaga solar di Malaysia.

PPA Tesco-NESS itu adalah selama 20 tahun hingga 2040, dengan fasa pertama akan menyaksikan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di ruang atas bumbung 15 cawangan Tesco seluruh negara.

Setelah pemasangan selesai pada Oktober 2020, panel solar PV itu akan secara kolektif menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun, sehingga mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera.

Tenaga yang dihasilkan dari panel solar PV juga dapat menerangi sebanyak 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak atau 804,905 rumah tiga bilik tidur selama setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie, berkata pemasangan panel solar PV di 15 dari 62 cawangan adalah fasa pertama dalam usaha tenaga boleh diperbaharui Tesco.

Beliau berkata, ia adalah antara usaha berterusan Tesco untuk kelestarian alam sekitar, yang sudah pun termasuk mengukur dan menerbitkan data sisa makanan dan pengurangan penggunaan beg plastik sekali pakai di cawangannya.

"Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan NESS dalam usaha pertama untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui kerana konsortium yang membentuk NESS telah membuktikan rekod prestasi individu dalam menyampaikan dan menyelenggara projek besar seperti ini.

"Kami mengharapkan perkongsian yang panjang dan bermanfaat dengan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

NESS adalah kerjasama antara PETRONAS melalui unit perniagaan New Energy yang memfokuskan pada penyediaan penyelesaian tenaga bersih yang berkesinambungan dan menjimatkan kos berterusan.

Sementara itu, NEFIN Group pula adalah kumpulan pemaju solar dan pengurusan aset yang terkenal.

Pengarah NESS, Dr Jay Mariyappan, yang juga Ketua PETRONAS New Energy, berkata pihaknya berbesar hati dianugerahkan projek solar pertama Tesco di Malaysia.

Beliau berkata, dengan kemampuan kolektif PETRONAS dan NEFIN, pihaknya yakin bahawa ia akan dapat menyokong Tesco dalam merealisasikan matlamat kelestarian yang akhirnya akan memberi manfaat kepada semua.

Cawangan yang akan dilengkapi dengan panel solar PV ialah Tesco Mergong, Sungai Petani Selatan, Bukit Mertajam, Rawang, Ipoh, Station 18, Klang, Puchong, Bukit Puchong, Tesco Extra Seremban Jaya, Kulim, Stargate, Seberang Jaya, Jitra dan Kampar.

Berita Harian X