Jumaat, 3 Julai 2020 | 12:44pm
PETRONAS mengukuhkan komitmennya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui
PETRONAS mengukuhkan komitmennya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui

PETRONAS melabur dalam sistem solar PV

KUALA LUMPUR: PETRONAS, menerusi anak syarikat modal terokanya, PETRONAS Ventures, memeterai perjanjian bersama SOLS Energy Sdn Bhd untuk melabur dalam sistem solar fotovolta (PV).

Sistem solar PV itu menyediakan tenaga boleh diperbaharui kepada sektor kediaman serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Ia inisiatif pelaburan modal teroka kedua PETRONAS yang menyasar untuk mengukuhkan komitmen firma minyak dan gas nasional itu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui sebagai rakan penyelesaian.

Urus niaga itu dijangka akan dimuktamadkan akhir bulan ini.

Ketua PETRONAS Ventures, Mohd Azli Ishak, berkata pelaburan itu akan melengkapi pertumbuhan perniagaan tenaga baharu PETRONAS dalam pasaran solar.

"Pasukan SOLS Energy memiliki semangat dan keazaman untuk melonjakkan industri lestari," katanya dalam satu kenyataan.

SOLS Energy adalah syarikat penyelesaian sehenti inovatif yang mereka bentuk, mengedar, menyelenggara dan memasang sistem tenaga solar berkualiti tinggi pada kadar kompetitif.

Ia turut mengendalikan Akademi Solar pertama di Malaysia yang menawarkan kemahiran teknikal dalam industri solar selain latihan pembangunan peribadi kepada belia tempatan.

Inisiatif bersama SOLS Energy adalah sejajar dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan Sasaran Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 4,7,8 dan 13.

Ketua Pegawai Eksekutif SOLS Energy, Raj Ridvan, berkata syarikat itu beraspirasi kepada masa depan dunia melalui kuasa teknologi dan tenaga boleh diperbaharui.

"Misi kami adalah untuk menghubungkan rakyat dan perniagaan kepada penyelesaian tenaga lestari.

"Kami percaya penggunaan sistem solar PV sedang berada pada titik peralihan di Malaysia. Dengan kawal selia kerajaan terhadap Meter Tenaga Bersih (NEM) dan kos peralatan lebih rendah, kami melihat potensi pasaran besar di Malaysia dan Asia Tenggara," katanya.

Graduan program FutureTech Accelerator PETRONAS pada 2019, SOLS Energy juga mempunyai 500 Startups, sebuah pemodal teroka global, sebagai salah satu pelaburnya.

Berita Harian X