Isnin, 29 Jun 2020 | 7:59pm

Media Prima, kesatuan pekerja capai persetujuan

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) dan wakil daripada lima kesatuan sekerja mencapai persetujuan dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan seperti yang diumumkan pada 4 Jun lalu.

Kumpulan media bersepadu itu dalam satu kenyataan berkata, perbincangan berkenaan bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

"Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisma pampasan yang adil serta saksama kepada kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan.

"Surat notis kepada kira-kira 300 kakitangan yang terjejas dikeluarkan hari ini dan tarikh akhir pekerjaan mereka adalah pada 31 Julai 2020," katanya.

Sebelum ini, Media Prima mengumumkan akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya.

Perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik COVID-19.

Faktor itu memaksa kumpulan untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya.

Ia merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.

Inisiatif itu membabitkan perubahan operasi di unit terpilih untuk mengatasi ketidakcekapan kos yang timbul daripada pertindihan kerja.

Transformasi perniagaan itu bertujuan menjadikan kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mapan untuk jangka masa sederhana serta jangka masa panjang.

Berita Harian X