Jumaat, 19 Jun 2020 | 3:12pm
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap pada Disember 2026.
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap pada Disember 2026.

OCR, PKNP tubuh JV sertai projek ECRL

KUALA LUMPUR: OCR Group Bhd, menerusi syarikat sekutu 40 peratus miliknya, Landasan Surimas Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk menubuhkan syarikat usaha sama (JV) 70:30, Taraf Raya.

Penubuhan JV itu adalah untuk menyediakan kerja mekanikal dan sivil, tidak termasuk kerja terowong, berkaitan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang, tertakluk kepada kontrak akhir yang akan dimeterai antara Taraf Raya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd.

OCR dalam kenyataannya berkata, ia turut melantik Yayasan Pahang untuk melaksanakan perundingan pengurusan projek, yang termasuk menyelia skim perumahan mampu milik merangkumi 25,000 unit kediaman dalam tempoh 15 tahun akan datang.

"Ini termasuk pembangunan projek PRIYA Scheme Kuantan milik OCR yang dijangka disiapkan pada 2021," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

OCR berkata, sebelum mengambil tanggunggjawab ini, ia sudah mengiktiraf potensi Pahang sebagai hab ekonomi yang pesat berkembang menerusi kawasan tanahnya yang luas serta lokasi strategik, yang membolehkannya menjalankan pembangunan hartanah PRIYA Scheme Kuantan dan akan datang Vertex Kuantan, bagi memenuhi pasaran strategik ini.

Katanya, kerjasama dengan PKNP akan mempromosikan kepentingan Pahang dan rakyatnya, menjadi sebahagian daripada urbanisasi dan memastikan bahawa kontraktor tempatan mendapat manfaat daripada pertumbuhan mampan sebaik saja ECRL disiapkan.

"Ini juga sejajar dengan strategi pertumbuhan OCR untuk membina aliran pendapatan berulang lebih mantap dalam skop operasi pembangunan hartanah, pembinaan dan perundingan pengurusan projek.

"Kami sedang mentrasformasi strategi perniagaan untuk menumpukan asas perolehan yang lebih mampan," katanya.

Projek ECRL bernilai RM44 bilion sepanjang 640 kilometer dari Kota Bahru ke Pelabuhan Klang.

Ia merangkumi 14 stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan fret, selain satu stesen fret, yang mana tujuh daripadanya terletak di Pahang.

Keseluruhan projek disasarkan siap menjelang Disember 2026.

Berita Harian X