Selasa, 9 Jun 2020 | 6:43pm
Yayasan Hasanah
Yayasan Hasanah

Yayasan Hasanah lulus 19 projek bernilai RM3.6 juta

KUALA LUMPUR: Yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd, Yayasan Hasanah meluluskan dan mengagihkan 19 projek bernilai RM3.6 juta di bawah Geran Khas Hasanah 2020 (HSG2020) yang dilancarkan pada 15 April lalu.

HSG2020 adalah inisiatif antara Kementerian Kewangan (MoF) dan Yayasan Hasanah sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk memerangi pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yayasan Hasanah berkata, 19 projek yang diluluskan itu dijangka dapat membantu lebih daripada 7,000 penerima langsung.

"Jangka masa semua projek adalah dari tiga hingga 12 bulan, dan semua projek akan dipantau untuk memastikan kelancaran penyampaian semua hasil yang telah dipersetujui," kata yayasan itu.

Jenis projek yang diluluskan adalah pelbagai, iaitu menyediakan bantuan makanan asas; meningkatkan mata pencarian melalui pertanian sayur-sayuran dan pengedaran, mewujudkan tempat untuk sokongan kesihatan mental bagi latihan kemahiran untuk kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas dan meningkatkan kecekapan pendidikan anak-anak yang bersekolah.

"Projek-projek yang diluluskan secara terkumpul merangkumi sebahagian besar negeri-negeri di Malaysia, membantu golongan B40 di kawasan bandar dan luar bandar, serta di pulau-pulau dan masyarakat yang tinggal di kaki gunung," kata Yayasan Hasanah.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X