X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 6:01pm
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beri kesan kepada prestasi kewangan MAHB. NSTP/Aizuddin Saad
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beri kesan kepada prestasi kewangan MAHB. NSTP/Aizuddin Saad

MAHB rugi bersih RM20.37 juta

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengalami kerugian bersih RM20.37 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020 berbanding keuntungan bersih RM149.58 juta pada suku sama tahun lalu.

Perolehan susut kepada RM933.83 juta daripada RM1.25 bilion bagi tempoh yang sama, seiring dengan penguncupan pergerakan penumpang sebanyak 23.9 peratus disebabkan kesan COVID-19 serta sekatan perjalanan yang dikenakan kerajaan dan negara lain untuk membendung wabak itu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata trafik penumpang bagi operasi Malaysia menguncup 27.6 peratus kepada 18.4 juta penumpang berbanding 25.4 juta penumpang pada suku yang sama setahun lalu.

Dalam tempoh yang sama, trafik penumpang bagi operasi Turki menguncup 12.3 peratus kepada 7.1 juta penumpang berbanding 8.1 juta pada 2019.

"Secara keseluruhan, operasi Malaysia dan Turki masing-masing mencatatkan penurunan perolehan 29.1 peratus kepada RM660.2 juta dan 10.0 peratus kepada RM251.6 juta," kata MAHB.

Sementara itu, perolehan daripada operasi Qatar susut kepada RM22.0 juta daripada RM40.9 juta bagi tempoh yang sama.

MAHB berkata, lapangan terbang di Malaysia mencatatkan penurunan pergerakan penumpang sejak akhir Januari 2020 dan kadar penurunan itu semakin ketara dari 18 Mac 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan untuk menyekat perjalanan rakyat.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X