Jumaat, 22 Mei 2020 | 12:14pm
OCBC Bank (Malaysia) Bhd
OCBC Bank (Malaysia) Bhd

OCBC Malaysia raih untung tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd meraih keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah RM954 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Rekod keuntungan yang turut diraih secara kolektif bersama anak syarikatnya itu adalah 17 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai pula meningkat 12 peratus kepada RM1.23 bilion.

Lonjakan keuntungan syarikat itu disokong pertumbuhan kukuh sembilan peratus jumlah pendapatan hasil keuntungan lebih tinggi daripada pelupusan pelaburan kewangan.

Ia turut dicapai hasil perolehan pendapatan faedah bersih yang dikekalkan pada paras yang sama seperti tahun kewangan 2018 walaupun terdapat potongan 25 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang seterusnya dalam kadar asas dan kadar pinjaman serta pembiayaan asas OCBC Bank pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Malaysia, Datuk Ong Eng Bin, berkata meskipun berdepan tahun yang mencabar, syarikat masih mampu mencatatkan prestasi kukuh.

"Menyedari implikasi penuh COVID-19 pada 2020, kami akan terus menyokong pelanggan menangani kesan krisis pandemik menerusi kekuatan gabungan francais perbankan konvensional dan Islam di samping aspek pengurusan risiko, dengan memaksimumkan kerjasama antara unit perniagaan dan mengembangkan platform produk kekayaan.

"Kami terus melabur dalam keupayaan digital untuk meluaskan tawaran kami dan menambah baik pengalaman pelanggan demi memenuhi peningkatan permintaan bagi perkhidmatan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X