Jumaat, 22 Mei 2020 | 11:01am
Khazanah Nasional Bhd
Khazanah Nasional Bhd

Khazanah raih RM735.7 juta hasil penempatan saham TM

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd mengumumkan kejayaannya menempatkan 172.3 juta saham Telekom Malaysia Bhd (TM) pada harga RM4.27 sesaham, sekali gus meraih hasil berjumlah RM735.7 juta daripada urus niaga itu.

Harga penempatan mewakili diskaun 3.61 peratus pada harga penutup pasaran bagi saham TM yang bernilai RM4.43 pada 21 Mei 2020, adalah penempatan berkaitan sektor telekomunikasi terbesar di Malaysia dan ketiga terbesar di ASEAN pada tahun ini.

"Penempatan saham ini adalah sebahagian daripada usaha penyusunan semula keseluruhan portfolio Khazanah, dengan hasil daripadanya akan digunakan untuk pelaburan baharu pada masa depan serta usaha pemelbagaian peruntukan aset Khazanah.

"Dengan permintaan kukuh pasaran bagi saham mewah tempatan, penempatan saham ini membolehkan Khazanah meningkatkan apungan bebas dan daya tarikan saham TM sebagai pelaburan," menurut dana kekayaan negara itu dalam kenyataannya.

Katanya, dana domestik berjangka panjang, pelabur institusi asing serta pelabur institusi sedia ada telah mengambil bahagian dalam penempatan saham ini.

"Pelabur institusi domestik mewakili sebahagian besar pembeli utama," katanya.

CIMB dan Credit Suisse adalah pengatur bersama penempatan saham ini.

-BERNAMA

Berita Harian X