Khamis, 21 Mei 2020 | 8:38pm
Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) - Foto ihsan Petron Malaysia
Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) - Foto ihsan Petron Malaysia

Petron Malaysia rugi bersih RM84 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) mencatatkan kerugian bersih RM84 juta bagi suku pertama 2020, berbanding keuntungan bersih RM58 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Kerugian dicatatkan meskipun inisiatif pengurangan perbelanjaan dan usaha pengurusan risiko membantu syarikat meredakan impak penurunan margin.

Pendapatannya dalam suku dikaji susut kepada RM2.2 bilion, berbanding RM2.7 bilion tahun lalu, terutama disebabkan oleh impak negatif pandemik COVID-19 dan penurunan ketara harga minyak.

  

PMRMB dalam satu kenyataan berkata, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, industri menyaksikan penurunan mendadak dalam permintaan minyak disebabkan pergerakan dan kegiatan ekonomi yang terbatas.

Ini, katanya mengakibatkan penurunan sebanyak 11 peratus dalam jumlah jualan syarikat pada suku pertama kepada 8.1 juta tong berbanding 9.1 juta tong pada tahun lalu.

"Ketidakpastian situasi disebabkan pandemik COVID-19 dan perang harga minyak dalam kalangan negara utama pengeluar minyak mengakibatkan lebihan bekalan minyak global dan penurunan ketara dalam harga minyak mentah dan produk petroleum.

"Harga Brent turun 52 peratus dari harga bulan Disember 2019 iaitu AS$67 setong kepada AS$32 setong pada Mac. Penurunan harga secara drastik ini mengakibatkan kerugian pegangan inventori dan melemahkan margin penapisan dalam masa sama penurunan jualan disebabkan PKP.

"Ini mempengaruhi prestasi syarikat dengan melaporkan kerugian kasar sebanyak RM53 juta berbanding RM143 juta keuntungan kasar pada 2019," katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi PMRMB, Ramon S Ang, berkata ketika ini fokus syarikat adalah kepada pemulihan segera di samping menumpukan pada matlamat strategik jangka panjang.

Beliau berkata, dalam mengharungi persekitaran yang mencabar ini, usaha syarikat adalah untuk mengekalkan ketahanan, melindungi pekerja dan membantu komuniti serta petugas di barisan hadapan.

Ang berkata, syarikat optimis dapat mengembalikan prestasi setelah semua pihak berjaya mengatasi pandemik global ini.

"PMRMB tetap komited menyempurnakan projek utamanya di kilang penapisan dan juga meneruskan aktiviti pengembangan rangkaian apabila keadaan telah mengizinkan," katanya.

Berita Harian X