Rabu, 20 Mei 2020 | 2:24pm
CIMB Bank Bhd
CIMB Bank Bhd

CIMB sedia sokongan digital untuk PKS

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd meneruskan usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama perniagaan tanpa penyertaan digital.

Sokongan menerusi rangkaian webinar yang dihoskan rakan niaga CIMB yang juga menyedia penyelesaian e-dagang, Exabytes dan penyedia perkhidmatan pembayaran mudah, Billplz, akan membantu PKS meningkatkan keupayaan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Victor Lee Meng Teck, berkata kemampuan digital menjadi kunci kepada perniagaan dalam keadaan iklim perniagaan mencabar akibat pandemik COVID-19.

"Mana-mana pemilik perniagaan boleh mengambil bahagian untuk mengetahui bagaimana dapat memanfaatkan kemampuan perniagaan dalam talian dengan rangkaian lengkap dan platform pembayaran yang cekap.

"Dengan ini, CIMB mahu membantu pelanggan memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran rakan kami, Exabytes dan Billplz," katanya dalam satu kenyataan.

Meng Teck berkata, bagi memastikan perniagaan kekal bertahan dan menikmati pertumbuhan, pelanggan boleh memanfaatkan pengetahuan digital kedua-dua rakan kongsi CIMB.

"Ini amat penting dalam persekitaran semasa, di mana perniagaan berdepan dengan peluang yang rendah atau terhad untuk operasi fizikal," katanya.

Webinar pertama dilancarkan 13 Mei lalu membabitkan sesi selama dua jam yang dihoskan CIMB dengan diwakili speaker dari Exabytes dan Billplz.

Menerusi Pakej Runcit Digital, Akaun Semasa Perniagaan CIMB/-i SME, pelanggan menikmati pakej diskaun besar oleh Exabytes dan Billplz bagi membantu mereka memulakan transformasi perniagaan digital.

Dengan Pakej Bantuan Exabytes, PKS dapat mewujudkan platform perniagaan digital penuh dalam masa tiga hari, lengkap dengan gerbang pembayaran, alamat emel perniagaan, hak cipta dan perkhidmatan penghantaran.

Pakej itu bermula pada RM699, berbanding harga normal RM1399.

Billplz juga menawarkan Akaun Semasa Perniagaan CIMB/-i SME dua bulan percuma menerusi Pakej Keahlian Standard.

Berita Harian X