Selasa, 19 Mei 2020 | 11:52am
Sejak dilancarkan pada 2017, TikTok dimuat turun lebih dua bilion kali - Gambar fail AFP
Sejak dilancarkan pada 2017, TikTok dimuat turun lebih dua bilion kali - Gambar fail AFP

Bekas eksekutif Disney dilantik ketuai TikTok

SAN FRANCISCO: Bekas eksekutif Disney, Kevin Mayer akan mengetuai TikTok dan menjadi ketua pegawai operasi syarikat induk aplikasi video popular itu.

Penyertaan mengejutkan Mayer daripada salah satu syarikat hiburan paling dihormati dalam industri adalah satu lagi kemenangan buat TikTok, yang popularitinya melonjak dalam kalangan pengguna semasa pandemik COVID-19.

Mayer sebelum ini mengetuai penawaran langsung kepada pengguna Disney, yang mana beliau memantau kejayaan perkhidmatan penstriman televisyen Disney+.

Tugas baharunya termasuk memimpin TikTok dan pembangunan global aplikasi syarikat induknya yang berpangkalan di Beijing, ByteDance.

Beliau akan melapor terus kepada pengasas dan ketua eksekutif ByteDance, Yiming Zhang.

"Pengalaman luas Kevin membina perniagaan global yang berjaya menjadikannya calon paling menyerlah untuk misi kami menginspirasikan kreativiti kepada pengguna di seluruh dunia," kata Zhang dalam satu kenyataan.

Tugas Mayer di Disney termasuklah menguruskan operasi Hulu, ESPN+ dan Hotstar dalam platform langsung kepada pengguna, menurut ByteDance.

"Saya gembira dapat membantu menerajui fasa seterusnya perjalanan ByteDance," kata Mayer dalam kenyataan itu.

ByteDance memiliki TikTok, yang menyediakan klip video 15 hingga 60 saat menampilkan segala-galanya daripada tutorial mewarnakan rambut hinggalah rutin tarian dan jenaka mengenai kehidupan seharian.

Sejak dilancarkan pada 2017, TikTok dimuat turun lebih dua bilion kali, menurut agensi penyelidikan Amerika Syarikat (AS), SensorTower.

Ia mempunyai ramai pengikut di India, AS, Indonesia dan beberapa negara lain lagi.

Platform itu, yang menjadi kegemaran dalam kalangan remaja, semakin digunakan oleh golongan dewasa yang mahu mengisi masa semasa perintah berkurung COVID-19.

TikTok menyaksikan 65 juta muat turun di seluruh dunia pada Mac lalu, demikian menurut SensorTower.

-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X