Jumaat, 15 Mei 2020 | 12:44pm

Singapore Airlines catat kerugian pertama dalam tempoh 48 tahun

SINGAPURA: Singapore Airlines mencatat kerugian tahunan hampir RM650.3 juta, ekoran penurunan jumlah perjalanan udara yang disebabkan COVID-19.

Ia adalah kerugian bersih pertama yang dicatat syarikat penerbangan nasional Singapura itu dalam tempoh 48 tahun, sekali gus menjadi isyarat baharu mengenai kesan buruk wabak itu kepada sektor penerbangan.

Kumpulan penerbangan itu, termasuk anak syarikatnya, SilkAir dan Scoot terjejas dengan kerugian bersih S$212 juta (RM645.8 juta) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, berbanding keuntungan S$683 juta (RM2.08 bilion) tahun lalu.

Syarikat penerbangan milik kerajaan Singapura itu mencatatkan kerugian S$732 juta (RM2.23 bilion) pada suku keempat, majoritinya disebabkan pengurangan pendapatan pelanggan selepas krisis virus meledak.

"Kebimbangan berhubung penularan virus termasuk sekatan perjalanan global dan kawalan sempadan menerajui kejatuhan permintaan perjalanan udara ketika suku dikaji," kata syarikat penerbangan itu dalam laporan kewangannya.

Kejatuhan harga minyak baru-baru ini juga menyebabkan kerugian lindung nilai bahan bakar sebanyak S$710 juta (RM2.2 bilion) pada suku keempat.

Singapore Airlines mengurangkan kapasiti penumpang sebanyak 96 peratus dari April hingga Jun dan kebanyakan pesawatnya tidak beroperasi selepas tetamu tidak menggunakan perkhidmatan akibat pandemik.

Pemegang saham majoriti syarikat penerbangan itu, dana pelaburan, Temasek, memperkenalkan bantuan menyelamat untuk membantu syarikat penerbangan itu mengatasi wabak berkenaan.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan operasi syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik kehilangan gabungan pendapatan berjumlah AS$27.8 bilion (RM120.8 bilion) tahun ini.

Bulan lalu, badan perniagaan perniagaan itu berkata, trafik udara global susut 52.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, penyusutan terbesar dalam sejarah disebabkan sekatan perjalanan dicetuskan COVID-19. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X