Khamis, 14 Mei 2020 | 6:26pm
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said di majlis pelancaran program iTEKAD di Putrajaya, hari ini
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said di majlis pelancaran program iTEKAD di Putrajaya, hari ini

Bank Islam bantu usahawan asnaf, B40 dengan iTEKAD

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melancarkan program pembiayaan mikro iTEKAD, inisiatif kewangan sosial untuk memperkukuhkan kewangan perusahaan mikro milik usahawan asnaf dan B40.

Menerusi program itu, Bank Islam memperuntukkan RM5 juta daripada Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) dengan dana itu adalah untuk modal kerja atau pembiayaan perbelanjaan modal untuk usahawan mikro B40 dan asnaf terpilih.

Pemohon yang menepati kriteria asnaf yang berpandukan peraturan dan prinsip syariah, akan menerima manfaat daripada peruntukan sebanyak RM300,000 dana Zakat Bank Islam.

Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, iTEKAD bertujuan membantu usahawan mikro dari segi pendanaan dan sokongan berkaitan selepas perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, ia direka untuk menggerakkan sumbangan kewangan sosial dengan menawarkan modal permulaan dengan pembiayaan mikro yang berpatutan bagi pemohon yang layak untuk memula dan mengembangkan perniagaan mereka bagi menjana pendapatan berterusan.

"Sebagai tambahan kepada pembiayaan modal kerja, iTEKAD akan menggunakan dana zakat untuk pembelian peralatan dan kelengkapan yang diperlukan untuk penerima yang layak," katanya.

Program iTEKAD dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Kompleks Islam Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Program iTEKAD juga membabitkan kerjasama rakan pelaksana terpilih seperti Majlis Agama Islam Negeri, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Sebagai perintis program berkenaan, Bank Islam akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Melalui kerjasama itu, penerima akan mendapat latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan yang berstruktur bagi memastikan mereka meraih pemahaman, kemahiran dan pengetahuan holistik menguruskan perniagaan yang dimiliki dengan cekap dan mampan.

Zulkifli dalam ucapannya berkata, pembiayaan mikro ITEKAD ini menjadi satu wadah untuk membantu asnaf dan usahawan B40 yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata, COVID-19 memberi kesan negatif kepada ekonomi global, termasuk Malaysia dengan tekanan itu dirasai oleh segmen paling mudah terjejas iaitu individu dan perusahaan mikro milik B40.

"Sebagai sebuah bank yang prihatin dan berhasrat untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG), pelaksanaan iTEKAD ini selari dengan nilai bank dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pemeliharaan kekayaan, taraf kehidupan, kemakmuran dan intelek.

"Program kewangan sosial ini juga sejajar dengan falsafah Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang seterusnya memperkukuhkan komitmen Bank Islam membantu perusahaan kecil mendepani kesukaran semasa demi mencapai kesejahteraan yang berterusan," katanya.

Berita Harian X