Selasa, 5 Mei 2020 | 8:22pm
Ibu pejabat Bank Muamalat Malaysia Bhd
Ibu pejabat Bank Muamalat Malaysia Bhd

Ibu pejabat Bank Muamalat beroperasi semula esok

KUALA LUMPUR: Ibu pejabat Bank Muamalat Malaysia Bhd (BMMB) dan cawangan Jalan Melaka di Kuala Lumpur akan kembali beroperasi esok.

Ini berikutan keputusan kerajaan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Masjid India dan jalan sekitarnya berkuatkuasa 3 Mei 2020.

Susulan itu, semua kakitangan BMMB yang terbabit dalam perkhidmatan penting di bangunan ibu pejabat dan cawangan Jalan Melaka akan kembali bertugas di premis berkenaan.

Namun, sebahagian besar daripada warga kerjanya di dua lokasi terbabit akan terus bekerja dari rumah untuk membantu mengekang penularan pandemik COVID-19.

Cawangan Jalan Melaka akan dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

Sementara waktu operasi Terminal Layan Diri (SST) di cawangan berkenaan adalah dari jam 6 pagi hingga tengah malam setiap hari.

Walaupun cawangan BMMB Jalan Melaka akan beroperasi semula esok, Bank Muamalat mengalakkan pelanggannya untuk menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di seluruh negara.

BMMB juga terus mengambil langkah untuk menjaga kesihatan dan keselamatan pelanggan dan warga kerjanya.

Ia memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa perkhidmatannya terus beroperasi seperti biasa dengan gangguan minimum.

Kawasan Masjid India dan jalan sekitarnya diletak di bawah PKPD bermula 14 April lalu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X