X
Isnin, 4 Mei 2020 | 10:21pm
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)
Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)

F&N jangka normal baharu kurangkan permintaan produk

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjangkakan permintaan yang rendah bagi separuh kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2020, terutama untuk produk minuman kerana pengguna akan menyesuaikan diri dengan normal baharu iaitu aktiviti sosial yang berkurangan.

Pengerusinya, Tengku Syed Badarudin Jamalullail berkata susulan kepada banyak ketidaktentuan akibat krisis COVID-19 masih lagi berlarutan, konglomerat itu tetap positif kerana asasnya yang kuat, lembaran imbangan yang mantap dan portfolio jenama yang kukuh.

"Kami akan terus melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos untuk memberikan kecekapan dan penjimatan serta melabur semula dalam jenama kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Syed Badarudin berkata, kumpulan itu telah lindung nilai sebahagian daripada keperluan bahan mentahnya menjelang tahun kewangan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga input susu tertentu.

Selain itu, F&N memperkuatkan perniagaannya agar bersedia ketika aktiviti ekonomi kembali normal dan permintaan pengguna pulih semula.

Untuk suku kedua yang berakhir pada 31 Mac, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM102.17 juta, merosot daripada RM104.42 juta direkodkan pada tempoh yang sama sebelumnya.

Perolehan susut 1.9 peratus menjadi RM1 bilion berbanding RM1.02 bilion, disebabkan oleh kesan buruk akibat COVID-19 dan langkah kawalan pergerakan terhadap permintaan pengguna.

Sejajar dengan prestasi kumpulan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 27.0 sen sesaham untuk tahun kewangan berkenaan, berjumlah kira-kira RM99.0 juta dan akan dibayar pada 12 Jun 2020.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X