Isnin, 4 Mei 2020 | 2:27pm
Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway, Warren Buffett - Gambar fail AFP
Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway, Warren Buffett - Gambar fail AFP

Warren Buffett elak beli saham semasa COVID-19

NEW YORK: Pelabur terkemuka, Warren Buffett menanti selama bertahun-tahun supaya pasaran saham kelihatan menarik.

Beliau bagaimanapun tidak merasakan kejatuhan pasaran pada suku pertama sebagai satu peluang.

Ketika kelembapan disebabkan COVID-19 mula mencengkam Amerika Syarikat (AS), Berkshire Hathaway Inc membina simpanan tunai mencecah paras tertinggi AS$137 bilion (RM583 bilion) menjelang akhir Mac.

Syarikat itu berkata, angka itu melonjak lebih tinggi apabila ia menjual lebih daripada AS$6 bilion (RM26 bilion) saham pada April, menjadikan Buffett penjual bersih saham setakat tahun ini.

Buffett, yang mengadakan mesyuarat tahunan maya pada Sabtu, hanya menunggu di luar pasaran ketika pandemik itu menjejaskan saham dan ekonomi global.

Ia berbeza dengan krisis kewangan 2008, apabila syarikatnya yang berpangkalan di Omaha memanfaatkan simpanan tunai yang besar untuk mendapatkan saham keutamaan yang mewah dan menyelamatkan perniagaan daripada tumbang.

Walaupun perolehan operasi Berkshire meningkat pada suku pertama, Buffett memberi amaran masalah daripada kejatuhan yang dicetuskan virus berkenaan.

"Ketika usaha untuk membendung pandemik COVID-19 dipercepatkan pada separuh kedua Mac dan berterusan sehingga April, kebanyakan perniagaan kami terkesan secara negatif, dengan kesannya adalah daripada kecil sehingga teruk," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Saham Berkshire Kelas A telah susut sekitar 19 peratus tahun ini hingga penutu Jumaat lalu, lebih buruk berbanding penurunan 12 peratus dalam S&P 500 dalam jangka masa yang sama.

Berkshire membeli semula hanya AS$1.7 bilion (RM7.3 bilionb) sahamnya sendiri, kurang daripada yang dilakukannya dalam tiga bulan terakhir 2019.

Syarikat itu baru-baru ini mendedahkan bahawa ia telah mengambil alih saham Delta Air Lines Inc dan Southwest Airlines Co kerana syarikat penerbangan berdepan dengan kesukaran ketika ini.

-Bloomberg

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X