Rabu, 29 April 2020 | 8:55pm
BANK Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).
BANK Muamalat Malaysia Berhad (BMMB).

Bank Mualamat perkenal Kod QR bayar zakat fitrah

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) hari ini memperkenalkan kemudahan bayaran zakat fitrah melalui Kod Respon Pantas atau 'Quick Response Code' (Kod QR).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamaruddin, berkata penambahbaikan kemudahan berkenaan menepati kecenderungan masyarakat terhadap penggunaan teknologi dan pembayaran melalui Kod QR selain memudahkan pembayaran zakat meskipun kekal berada di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Menerusi pembayaran zakat fitrah melalui QR, pelanggan BMMB dan pelanggan bank lain yang berdaftar dengan Duitnow QR secara amnya dapat memenuhi tuntutan rukun Islam yang keempat melalui platform tanpa tunai dengan mudah dan cepat.

"Pelanggan hanya perlu mengimbas telefon bimbit mereka pada DuitNow QR Bank Muamalat di laman sesawang Zakat Negeri untuk melengkapkan transaksi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul berkata Kod QR turut akan dihebahkan kepada pembayar zakat negeri masing-masing menerusi media sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

Tambahnya, kemudahan DuitNow QR yang diperkenalkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu juga berfungsi sebagai kesalingbolehoperasian antara e-dompet dan bank berlesen.

"Bank Muamalat juga berhasrat untuk meluaskan inisiatif e-Zakat ke seluruh negara dalam usaha mengembangkan platform berkenaan," katanya.

Sementara itu, Khairul berkata inisiatif bayaran zakat fitrah melalui DuitNow QR adalah hasil kerjasama erat dengan empat Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) iaitu Melaka, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. – BERNAMA

Berita Harian X