Rabu, 22 April 2020 | 6:06pm
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS untuk meringankan beban barisan hadapan.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS untuk meringankan beban barisan hadapan.

PETRONAS sedia bengkel mudah alih di hospital

KUALA LUMPUR: PETRONAS Dagangan Bhd (PDB), melalui anak syarikatnya, PETRONAS Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, mewujudkan bengkel mudah alih di beberapa hospital untuk memberikan perkhidmatan servis kereta kepada barisan hadapan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bermula dari Isnin hingga 28 April ini, perkhidmatan itu ditawarkan di Hospital Sungai Buloh, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani, berkata inisiatif itu sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PETRONAS untuk meringankan beban barisan hadapan dalam memerangi COVID-19, dan membantu mereka kekal selamat di jalan raya.

“Dalam tempoh ini, syarikat akan menawarkan pertukaran minyak pelincir PETRONAS Syntium percuma untuk enjin kereta, dilakukan oleh penyedia perkhidmatan yang dilantik, RessQ60min Powered by MyAssist.

“Perkhidmatan lain seperti menukar bateri, minyak atau penapis pendingin hawa dan pengelap juga disediakan yang akan dikenakan bayaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata, ia akan turut memperluaskan perkhidmatan yang sama di tiga cawangan AutoExpert di Sri Kembangan, Petaling Jaya dan Shah Alam untuk memberikan perkhidmatan kepada barisan hadapan penjagaan kesihatan yang berada dalam jarak 10 kilometer dari kawasan itu.

Beliau berkata, PETRONAS menghargai dedikasi dan pengorbanan barisan hadapan dalam tempoh mencabar ini.

“Kami mahu mereka selamat di jalan raya dan berasa yakin bahawa kereta mereka dijaga dengan baik ketika merawat pesakit,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X