Isnin, 6 April 2020 | 6:47pm

COVID-19: Khazanah sumbang RM20 juta bantu usaha tangani wabak

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan menyumbang RM20 juta bagi membantu usaha melawan penularan wabak COVID-19.

Sumbangan itu akan disalurkan kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN) yang kini sedang menyelaraskan usaha bantuan GLC dan GLIC kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kumpulan lain yang mempunyai keperluan mendesak.

GDRN diuruskan oleh sekretariat bersama yang diketuai oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan milik Khazanah dan Telekom Malaysia Bhd.

Sehingga kini, GLIC, GLC serta syarikat swasta lain telah menyumbang sejumlah RM51.5 juta menerusi GDRN.

Jumlah itu tidak termasuk sumbangan RM20 juta daripada Khazanah.

Dana berkenaan digunakan untuk menyokong KKM dalam pembelian bekalan perubatan serta membiayai pelbagai bantuan kemanusiaan yang berkaitan.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Khazanah, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggesa GLIC dan GLC untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dan menjadi contoh kepada syarikat dan industri lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat membantu rakyat yang menghadapi kesukaran semasa penularan wabak COVID-19.

"Sumbangan syarikat itu adalah sebahagian daripada usaha bersepadu peringkat kebangsaan bagi menangani impak wabak ini serta membantu golongan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Khazanah.

Selain sumbangan RM20 juta itu, kakitangan Khazanah turut menyumbang secara peribadi menerusi inisiatif kutipan derma bagi menyokong usaha bantuan tindakan COVID-19 yang dijalankan oleh MERCY Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Sumbangan kakitangan Khazanah dibuat menerusi potongan gaji secara sukarela serta sumbangan kakitangan secara langsung kepada kedua-dua entiti berkenaan.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata Khazanah amat menghargai inisiatif gigih kerajaan, GDRN dan semua pihak yang terbabit dalam usaha melawan COVID-19, terutamanya dedikasi dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka yang berada di barisan hadapan.

Sebagai organisasi dan kakitangan individu, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat turut menyumbang kepada usaha menangani wabak berkenaan.

"Sebahagian besar daripada kakitangan kami telah menyumbang sebahagian daripada gaji bulanan mereka untuk membantu usaha ini dan saya terus menggalakkan orang ramai untuk turut serta menyumbang sekiranya mampu berbuat demikian,” katanya.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari, berkata pihaknya sangat terharu dengan sokongan banyak pihak yang telah menyumbang kepada usaha yang diterajui oleh GDRN bagi menyalurkan bantuan dan sokongan untuk KKM serta bantuan kemanusiaan lain dalam cara yang terselaras dan tersusun.

Beliau berkata, pihaknya berharap semangat kerjasama dan kolektif ini akan terus memberi impak bermakna terhadap usaha keseluruhan untuk menangani COVID-19.”

Sejumlah 28 organisasi yang terdiri daripada GLIC, GLC dan syarikat swasta telah menyumbang kepada GDRN.

Daripada jumlah sumbangan RM51.5 juta yang berjaya dikumpul setakat ini, RM42.6 juta telah diperuntukkan untuk pembelian bekalan perubatan bagi KKM manakala RM8.9 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai bantuan kemanusiaan serta bantuan lain berkaitan.

Berita Harian X