Isnin, 30 March 2020 | 5:03pm
Ketua Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Kapten Izham Ismail. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Ketua Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Kapten Izham Ismail. NSTP/ROHANIS SHUKRI.

COVID-19: Malaysia Airlines bawa 10 juta topeng muka dari China

KUALA LUMPUR: MABkargo, cabang kargo Malaysia Airlines, akan membawa lebih 10 juta topeng muka dan ventilator dari Shanghai dan Guangzhou, China, dalam tempoh beberapa hari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata, ia direalisasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA), Kementerian Pengangkutan dan Pharmaniaga Bhd.

“Bersama dengan syarikat penerbangan sekutu kami di bawah Kumpulan Penerbangan Malaysia, kami membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menyediakan ruang kargo yang khusus dalam rangkaian domestik dan antarabangsa kami serta dalam rangkaian pesawat kargo global MABkargo untuk pengangkutan peralatan dan bekalan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, Malaysia Airlines telah mengurangkan kekerapan dan jadual domestiknya.

Katanya ia beroperasi pada tahap minimum, kebanyakannya untuk memudahkan perjalanan penting dan pergerakan kargo.

Bagi dalam negara, Izham berkata Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings memudahkan pergerakan barangan dan petugas perubatan di Semenanjung Malaysia, merentasi serta dalam Sabah dan Sarawak.

Ketiga-tiga syarikat penerbangan itu juga telah menyediakan pesawat di Lapangan Terbang Subang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk memulakan langkah menggerakkan dengan cepat petugas dan profesional perubatan serta pesakit bukan COVID-19 untuk membantu usaha pengurusan kapasiti/sumber KKM di seluruh Malaysia.

Terkini, MABkargo membawa dua tan topeng muka dan peralatan perlindungan diri dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Ia turut membawa 300,000 topeng muka pakai buang, 50,000 pakaian pelindung dan 8,000 pakaian pelindung dengan topeng mata daripada Yayasan Jack Ma dan Yayasan Alibaba dari Shanghai ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X