Khamis, 19 March 2020 | 12:49pm
QANTAS Airways Ltd
QANTAS Airways Ltd

Qantas henti semua penerbangan antarabangsa

SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways Ltd akan menghentikan semua penerbangan antarabangsanya bermula akhir bulan ini sehingga sekurang-kurangnya akhir Mei.

Ia mengarahkan dua pertiga pekerjanya untuk bercuti selepas pengumuman oleh kerajaan Australia bahawa rakyat tidak dibenarkan untuk ke luar negara susulan COVID-19.

Qantas juga akan menangguhkan pembayaran dividennya, bernilai A$201 juta (RM516 juta), dari 9 April hingga 1 September ini.

Gaji eksekutif kanan dan lembaga pengarah akan dikurangkan 100 peratus sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun kewangan, berbanding dari 30 peratus sebelum ini, menyertai langkah sama diambil Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang tidak dibayar gaji langsung sebelum ini.

“Ini adalah hari yang amat sukar yang perlu kami lakukan demi kelangsungan syarikat penerbangan negara,” kata Ketua Eksekutif Qantas, Alan Joyce kepada pemberita.

“Tidak pernah terlintas sebagai CEO saya terpaksa merehatkan dua pertiga pekerja kami dan mungkin lebih selepas ini jika situasi sama terus berlarutan”.

Syarikat penerbangan itu menggantung 160 pesawatnya, termasuk semua pesawat Airbus A380 dan Boeing Co 747 dan 787 memandangkan ketiadaan permintaan.

Harga saham syarikat itu jatuh tujuh peratus di awal dagangan semalam.

Qantas perlu memotong bayaran gaji berjumlah A$4 bilion (RM9.84 bilion) setahun susulan kejatuhan pendapatan dan sedang mencari cara untuk mendapatkan pembiayaan terhadap angkatan pesawat 787, dengan perjanjian dijangka akan diumumkan minggu depan, kata Ketua Pegawai Kewangannya, Vanessa Hudson.

Qantas turut terjebak dengan krisis, namun mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh berbanding kebanyakan syarikat penerbangan lain di seluruh dunia.

Penganalisis Citi pada Rabu berkata, syarikat penerbangan Australia itu dapat bertahan di antara enam hingga 11 bulan tanpa ada penerbangan sebelum terpaksa mengurangkan pengurangan kos asas, menambah 'gearan' atau meningkatkan ekuiti.

“Kami mempunyai kunci kira-kira yang antara paling kukuh di dalam industri, justeru mempunyai banyak kecairan untuk bertahan lama,” kata Joyce.

Syarikat penerbangan itu juga akan mengurangkan kapasiti domestiknya sebanyak 60 peratus dan 20,000 pekerja tidak diperlukan.

Untuk memastikan sebanyak mungkin pekerjaan tidak terjejas dalam tempoh lebih panjang, syarikat itu memberitahu kakitangannya untuk menggunakan cuti berbayar mereka dan menawarkan pilihan lain seperti cuti setengah gaji dan cuti pendahuluan.

Namun demikian, ia juga berkata yang cuti tanpa gaji tidak dapat dielakkan membabitkan beberapa pekerja.

Qantas berkata, ia juga sedang berbincang dengan rakan kongsi seperti peruncit Australia, Woolworths Group Ltd, yang telah menyaksikan peningkatan dalam jualan susulan belian panik daripada pengguna yang bimbang mengenai COVID-19, mengenai peluang pekerjaan sementara. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X