Rabu, 4 March 2020 | 6:00pm

McDonald's rancang wujudkan 10,000 peluang kerja

PETALING JAYA: McDonald's Malaysia, memperuntukkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion bagi memperluaskan rangkaian restoran dan perniagaannya dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar, berkata menerusi sebahagian daripada pelaburan itu, syarikat merancang untuk membuka 150 lagi cawangan dengan mewujudkan lebih kurang 10,000 peluang pekerjaaan menjelang 2025.

Katanya, buat masa ini terdapat 300 cawangan McDonald's di seluruh negara dan pihaknya merancang untuk membuka cawangan baharu menjadikan keseluruhan 450 cawangan menjelang lima tahun akan datang.

“Untuk tahun ini saja, kami merancang membuka 25 cawangan baharu McDonald's dengan setiap cawangan membabitkan pelaburan antara RM5 juta hingga RM6 juta.

“Dengan membuka cawangan baharu secara tidak langsung kami membuka peluang pekerjaan kerana satu cawangan selalunya memerlukan 80 hingga 100 kakitangan,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Amir Omar (tengah) menyampaikan Anugerah Graduan Cemerlang kepada Noor Fazriza Fazlin Abdul Rahim (kanan) pada Majlis Konvokesyen Pertama Akademi Vokasional McDonald's Malaysia hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Azmir Jaafar (kiri).Seramai 50 pelatih akademi tersebut berjaya menamatkan latihan dalam Program Perantis Vokasional McDonald's dan diraikan pada majlis konvokesyen tersebut. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis konvokesyen Program Perantis Vokasional McDonald's di Petaling Jaya, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar.

Sementara itu, McDonald’s Malaysia yakin mencapai sasaran melahirkan 5,000 perantis menerusi Program Perantis Vokasional McDonald’s menjelang akhir tahun ini.

Azmir berkata, Program Perantis Vokasional McDonald’s yang dimulakan pada 2018 menyaksikan 1,200 belia di seluruh negara telah dan sedang mengikuti program itu.

“Sebagai pemimpin industri, kami ingin menjadikan McDonald’s sebagai platform atau asas untuk golongan belia di Malaysia membina kerjaya yang bermakna.

“Ini adalah tempat untuk mereka mempelajari kemahiran sepanjang hayat, memenuhi potensi diri dan memiliki kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan, bukan sahaja di peringkat tempatan, malahan antarabangsa.

“Apa yang paling penting adalah bagaimana mereka mampu menyelami budaya McDonald’s yang sangat menitikberatkan kualiti dalam segenap aspek perniagaannya, pada masa sama membina hubungan rapat dalam keluarga besar McDonald’s,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Amir Omar (dua, kanan) bersama Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia Azmir Jaafar (kanan) beramah mesra bersama sebahagian graduan pada Majlis Konvokesyen Pertama Akademi Vokasional McDonald's Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Kira-kira 49 pelatih Program Perantis Vokasional McDonald’s diraikan dalam majlis konvokesyen di Akademi Vokasional McDonald’s.

Program Perantis Vokasional McDonald’s adalah latihan berteraskan industri selama 18 bulan yang menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan baki 30 peratus lagi membabitkan kelas teori.

Program dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia adalah berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Sebaik belia yang menyertai program tamat latihan, mereka dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia dan seterusnya layak mengembangkan lagi kerjaya di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini.

Berita Harian X