Isnin, 24 Februari 2020 | 8:55pm
UEM Sunrise Bhd
UEM Sunrise Bhd

Untung bersih UEM Sunrise RM223.8 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih UEM Sunrise Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 susut kepada RM223.80 juta daripada RM279.99 juta bagi tempoh sama, sebelum ini.

Namun, perolehannya meningkat kepada RM2.90 bilion daripada RM2.04 bilion sebelum ini yang disumbangkan oleh langkah penjualan tapak di St Kilda Road serta Aurora Melbourne Central pada nilai lebih tinggi, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Keuntungan bersih itu susut akibat peningkatan margin kasar bagi penjualan tanah pada tahun kewangan 2018, kadar cukai lebih tinggi, sumbangan sekutu dan usaha sama yang rendah selain rosot nilai pelaburan bagi syarikat usaha sama, Malaysian Bio-XCell Sdn Bhd,” katanya.

Mengulas prospek, UEM Sunrise berkata ia menyasarkan untuk melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar RM2 bilion yang menumpukan hartanah bertanah di pasaran pertengahan seperti Aspira dan pembangunan pertengahan terbaharu, Senadi Hills - kedua-duanya di wilayah Selatan.

Malah, projek itu adalah tambahan kepada senarai pembangunan membabitkan fasa baharu Serene Heights di Bangi dan wilayah tengah.

Syarikat itu turut menyasarkan jualan RM2 bilion pada tahun ini termasuk jualan lot pembangunan Kluster Perindustrian Logistik Selatan (SILC) di Iskandar Puteri, Johor.

Setakat akhir 2019, jualan belum direkodkan syarikat itu mencecah RM1.8 bilion.

Bagaimana pun, syarikat berkenaan turut mengambil maklum terhadap kelembapan pasaran hartanah bagi tahun akan datang dan mengambil langkah berhati-hati susulan keadaan itu.

-BERNAMA

Berita Harian X