Jumaat, 21 Februari 2020 | 6:58pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Izzaddin Idris.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Izzaddin Idris.

Axiata berminat mohon lesen bank digital

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd merancang untuk membida lesen perbankan digital, ketika Malaysia bersedia untuk membuka industri kewangan kepada firma selain bank.

Ia sedang berbincang dengan 11 rakan berpotensi mengenai cadangan berkenaan, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Izzaddin Idris.

Beliau berkata, rakan berpotensi itu termasuk bank-bank dan pengendali e-dompet, namun beliau enggan mendedahkan identiti firma berkenaan.

Bank dan syarikat pemula membina nilai sebanyak AS$38 bilion (RM159.3 bilion) dalam sektor teknologi kewangan (fintech) di Asia Tenggara.

Axiata akan menyertai firma bukan bank lain seperti Grab Holdings Inc, Ant Financial dan Singapore Telecommunications Ltd dalam usaha menyertai perbankan digital di Asia.

Sebanyak lapan bank maya bakal mula beroperasi di Hong Kong tahun ini, manakala Singapura merancang untuk mengeluarkan sehingga lima lesen kepada firma bukan bank pada Jun ini.

Thailand turut mengikut jejak dengan menawarkan inisiatif yang sama.

Bank pusat Malaysia mengeluarkan dasar draf pada Disember lalu untuk menubuhkan bank digital.

Bank Negara Malaysia (BNM) merancang untuk menawarkan sehingga lima lesen menjelang akhir tahun ini, selepas memuktamadkan dasar itu pada separuh pertama tahun ini.

Axiata sedang berbincang dengan bank pusat dan menjangkakan operasi perbankan digitalnya akan bermula pada separuh kedua tahun depan, sekiranya ia mendapat kelulusan berkenaan, kata Mohd Izzadin.

Axiata adalah firma telekomunikasi Malaysia yang terbesar dari segi perolehan.

-Bloomberg

Berita Harian X