Selasa, 18 Februari 2020 | 3:38pm
KETUA Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Bhd, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Ir Dr Sanjayan Velautham (tengah) dan Ketua Pegawai Operasi Opensys Technologies, Luke Sebastian pada majlis pelancaran buySolar di Petaling Jaya.
KETUA Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Bhd, Ahmad Shahriman Mohd Shariff (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Ir Dr Sanjayan Velautham (tengah) dan Ketua Pegawai Operasi Opensys Technologies, Luke Sebastian pada majlis pelancaran buySolar di Petaling Jaya.

buySolar sedia pilihan pasang sistem panel PV

PETALING JAYA: OpenSys (M) Bhd melalui anak syarikatnya, Opensys Technologies Sdn Bhd (Opensys Technologies), menyasarkan 500 isi rumah memohon pemasangan sistem panel solar photovoltaic (PV) setiap bulan menerusi platform e-dagang, buySolar bermula bulan depan.

Ketua Pegawai Operasi Opensys Technologies, Luke Sebastian, berkata platform buySolar bertujuan memberi penyelesaian setempat kepada pengguna dan penyedia untuk menggunakan perkhidmatan sistem solar.

Beliau berkata, buySolar bermatlamat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan penggunaan sistem solar sebagai salah satu sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

“Platform ini menyediakan perkhidmatan pemasangan sistem solar akhir ke akhir, termasuk aplikasi status dalam talian, anggaran kos, pemilihan pemasangan sistem solar, sebut harga yang ditetapkan, pembiayaan, penyelenggaraan pemantauan dalam talian dan perkhidmatan selepas jualan.

“Sistem solar masih baharu dan kesedaran juga masih rendah, pengguna tidak tahu bagaimana cara untuk mempunyai sistem ini.

“Lantaran itu, kami memberikan penyelesaian setempat termasuk pembiayaan dengan kerjasama CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd,” katanya selepas pelancaran buySolar di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Bhd, Ahmad Shahriman Mohd Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Ir Dr Sanjayan Velautham.

buySolar adalah platform e-dagang yang mempunyai pilihan sistem solar melalui rakan strategiknya iaitu GSPARX Sdn Bhd dan TNBX Sdn Bhd.

Platform itu mendapat sokongan SEDA manakala CIMB Bank pula bertindak sebagai penyedia pembiayaan kepada pengguna yang berminat menggunakan sistem solar.

Sementara itu, Ahmad Shariman berkata, CIMB Bank memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk pembiayaan tenaga boleh diperbaharui itu.

Beliau berkata, pembabitan CIMB Bank sebagai penyedia pembiayaan rasmi buySolar adalah salah satu inisiatif kumpulan

dalam menyokong konsep pengantaraan berasaskan nilai Bank Negara Malaysia (BNM) serta komitmen kelestarian kumpulan.

“Pembiayaan CIMB untuk tenaga boleh diperbaharui bermula dari serendah RM20,000 hingga RM1 juta, meliputi 100 peratus daripada kos untuk memperoleh dan memasang teknologi tenaga boleh diperbaharui.

“Kerjasama itu juga menyumbang kepada komitmen kumpulan CIMB untuk UNEP-FI Principles for Responsible Banking dan inisiatif dengan kesan positif terhadap Alam Sekitar, Ekonomi dan Sosial (EES),” katanya.

Sanjayan pula berkata, tenaga boleh diperbaharui adalah komitmen utama kerajaan dan pihaknya sudah mengenal pasti sebanyak empat juta bangunan berpotensi bagi pemasangan sistem panel solar.

“SEDA terus mempromosikan pelbagai program seperti Feed-in Tariff (FiT) dan Program Peningkatan Tenaga Bersih (NEM 2.0) untuk menyokong aspirasi kerajaan,” katanya.

Berita Harian X