Isnin, 17 Februari 2020 | 3:45pm

GM tamatkan operasi di luar AS, China

NEW YORK/BEIJING: General Motors Co (GM) menghentikan lebih banyak pasaran di luar Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan menamatkan operasi jualan, reka bentuk dan kejuruteraan di Australia serta New Zealand.

GM turut akan menamatkan jenama Holden menjelang 2021.

Ia juga berkata, firma China, Great Wall Motor Co Ltd bersetuju untuk membeli kilang pengeluaran kereta Thailand milik GM, urus niaga yang dijangka selesai menjelang akhir 2020.

Bagi menyusun semula operasi globalnya, GM mempercepatkan penamatan operasinya di pasaran tidak menguntungkan, sekali gus menjadi lebih bergantung kepada pasaran AS, China, Amerika Latin dan Korea Selatan.

Ketua Pegawai Kewangan GM, Dhivya Suryadevara memberitahu penganalisis pada satu pembentangan 5 Februari lalu, bahawa penstrukturan operasi antarabangsa GM di luar China boleh menghasilkan margin keuntungan lebih baik berbanding 2018.

Dengan cadangan penjualan kilang Thailand kepada Greet Wall, GM tidak lagi meneruskan rancangan untuk mengembangkan operasinya di Asia Tenggara.

GM kini menumpukan pasaran yang mempunyai strategi tepat untuk memacu pulangan mantap, selain mengutamakan pelaburan global yang akan memacu pertumbuhan masa depan mobiliti, khususnya kenderaan elektrik dan tanpa pemandu, kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mary Barra dalam satu kenyataan.

Perubahan itu akan menyebabkan caj tunai dan bukan tunai sehingga AS$1.1 bilion, selain kehilangan 1,500 pekerjaan di Thailand dan 828 orang lagi di Australia serta New Zealand, kata GM.

-Reuters

Berita Harian X