Jumaat, 31 Januari 2020 | 6:40pm
Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Airways Ltd, Alan Joyce. - Foto Getty Image
Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Airways Ltd, Alan Joyce. - Foto Getty Image

Coronavirus - boleh sebabkan syarikat penerbangan Asia gulung tikar

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Asia bakal terjejas disebabkan penularan novel coronavirus atau 2019-nCoV dikebanyakan negara terutamanya China.

2019-nCoV yang tersebar dengan pantas menjejaskan pendapatan syarikat penerbangan disebabkan penurunan permintaan perjalanan masuk dan keluar dari China.

Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Airways Ltd, Alan Joyce, ketika dipetik majalah kewangan Fortune, berkata penularan pantas ini mengakibatkan banyak pembatalan perjalanan udara masuk dan keluar dari pasaran paling cepat berkembang di dunia itu.

“2019-nCoV menambah lagi ancaman bagi syarikat penerbangan Asia Pasifik, yang sudah berdepan dengan konflik perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China serta protes di Hong Kong.

“Banyak syarikat penerbangan mungkin tidak dapat mengekalkan beberapa operasi mereka ini. Hanya syarikat penerbangan yang terbaik dapat bertahan,” katanya kepada Fortune.

Sementara itu, Pengasas Endau Analytics, Shukor Yusof, berkata syarikat penerbangan mula berhadapan dengan situasi sukar.

“Kerugian boleh mencecah berbilion dolar AS. Ini boleh menjadi sebesar kerugian ketika SARS atau mungkin lebih besar,” katanya.

Jumlah jangkitan 2019-nCoV telah meningkat melebihi 7,700 di China, melepasi jumlah rasmi negara itu dari wabak SARS pada 2003.

SARS menjejaskan ekonomi global sekitar AS$40 bilion hanya dalam tempoh enam bulan dan menyebabkan penurunan 45 peratus dalam trafik penerbangan Asia Pasifik pada April 2003.

Trafik penerbangan global jatuh 19 peratus ketika itu, kejatuhan terburuk sejak Perang Teluk kedua.

Secara keseluruhan pada 2003, syarikat penerbangan Asia Pasifik kehilangan AS$6 bilion (RM24.51 bilion) pendapatan dan 8.0 peratus daripada trafik penumpang, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagaimanapun IATA berkata, selepas SARS, permintaan perjalanan melonjak di Asia, mewujudkan lebih banyak syarikat penerbangan tambang rendah dan ratusan juta penumpang penerbangan kali pertama.

Data IATA mengunjurkan menjelang 2037, jumlah penumpang di Asia Pasifik meningkat dua kali ganda kepada 3.9 bilion.

Sebelum kes 2019 nCoV, 19 daripada 51 syarikat penerbangan Asia yang tersenarai sudah tidak mencatatkan keuntungan, berdasarkan data Blooomberg.

Hanya enam syarikat penerbangan, termasuk syarikat penerbangan utama China, Spring Airlines Co mempunyai margin keuntungan lebih daripada 10 peratus.

Indeks Bloomberg juga menunjukkan 15 syarikat penerbangan Asia Pasifik jatuh 9.4 peratus dalam dua minggu yang lalu disebabkan peningkatan kebimbangan mengenai 2019 nCoV.

Tway Air Co, syarikat penerbangan tambang rendah Korea Selatan, telah jatuh sebanyak 16 peratus, Cathay Pacific turun 15 peratus dan Qantas 7.4 peratus.

Saham Hong Kong Air China Ltd, China Southern Airlines Co. dan China Eastern Airlines Co. telah jatuh lebih daripada 17 peratus.

Analisis IATA bagaimanapun menyatakan 2019 nCoV tidak mungkin memberi kesan jangka panjang terhadap permintaan perjalanan udara.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesan2019 nCoV dalam perjalanan udara, analisis IATA menunjukkan bahawa syarikat penerbangan akan kembali pulih selepas beberapa ketika.

“Walaupun dalam wabak SARS, trafik bulanan penumpang antarabangsa kembali ke tahap pra-krisis dalam tempoh sembilan bulan.

“Pada masa lalu, industri penerbangan telah terbukti berdaya tahan terhadap kejutan, termasuk wabak,” katanya.

Berita Harian X