Selasa, 28 Januari 2020 | 1:44pm
DATUK Azmir Merican Azmi Merican.
DATUK Azmir Merican Azmi Merican.

Sime Darby Property lantik Pengarah Urusan baharu

PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) melantik Datuk Azmir Merican Azmi Merican sebagai Pengarah Urusan Kumpulan baharunya berkuat kuasa 22 April 2020.

Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata Datuk Wan Hashimi Albakri akan meneruskan peranannya sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sehingga tarikh pelantikan Azmir berkuat kuasa.

Beliau berkata, selepas ini, Wan Hashimi akan terus memangku jawatan Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property.

“Pelantikan Azmir mengukuhkan komitmen Lembaga Pengarah untuk memastikan kepimpinan Sime Darby Property dalam industri dan mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan bagi pemegang kepentingannya.

“Kami ingin mengalu-alukan Azmir ke Sime Darby Property dan berharap dapat bekerjasama rapat dengannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azmir Merican mempunyai pengalaman dalam nasihat kewangan dan kepimpinan kanan.

Beliau kini adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Bhd, syarikat penyelesaian pengurusan aset dan infrastruktur terbesar Asia dengan rangkaian operasi di enam negara.

Azmir Merican memulakan kerjayanya sebagai penganalisis pelaburan dan kemudiannya sebagai pengurus di cabang penasihat kewangan dan korporat PricewaterhouseCoopers.

Beliau kemudiannya bekerja dengan CIMB Investment Bank dan selepas itu, menyertai AWC Bhd sebagai Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya.

Pada 2012, Azmir Merican menyertai Kumpulan UEM sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Unit Perniagaan, sebelum mengambil alih UEM Edgenta.

Di UEM Edgenta, beliau mengetuai transformasi berterusan menjadi sebuah syarikat berasaskan teknologi yang memberi perkhidmatan kepada sektor penjagaan kesihatan, hartanah dan infrastruktur.

Berita Harian X