Rabu, 8 Januari 2020 | 2:33pm
DAGING burger berasaskan sayuran yang dihasilkan oleh Impossible Foods. - Foto Reuters
DAGING burger berasaskan sayuran yang dihasilkan oleh Impossible Foods. - Foto Reuters

Impossible Foods batal bekal daging tiruan untuk McDonald's

SAN FRANCISCO/NEW YORK: Impossible Foods menarik diri daripada urus niaga untuk membekalkan burger berasaskan sayuran kepada McDonald's Corp.

Firma itu memberitahu Reuters ia tidak dapat mengeluarkan daging tiruan yang mencukupi untuk bekerjasama dengan rangkaian makanan segera terbesar dunia itu.

Ia perkembangan terkini persaingan antara pengeluar daging tiruan untuk meyakinkan lebih banyak restoran menawarkan daging burger sedemikian.

Namun, adalah tidak jelas sejauh mana perbincangan sudah diadakan dengan bersama McDonald's, yang enggan mengulas mengenai rundingan itu.

Saham Beyond Meat, pesaing Impossible Foods, melonjak untuk ditutup 12.5 peratus lebih tinggi selepas Reuters melaporkan ia tidak lagi berunding dengan McDonald's.

Sahamnya melonjak pada hari Impossible Foods melancarkan produk daging khinzir berasaskan sayuran pada Pameran Elektronik Pengguna (CES) di Las Vegas.

Mengenai McDonald's, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impossible Foods, Pat Brown dalam temubualnya bersama Reuters berkata ‘adalah kurang bijak untuk syarikat itu cuba bekerjasama sekarang.

“Mempunyai pelanggan yang besar ketika ini tidak memberikan manfaat sehinggalah kami meningkatkan pengeluaran.”

Impossible Foods dan pesaingnya cuba bekerjasama dengan rangkaian makanan segera bagi memanfaatkan anggaran purata AS$3,500 yang dibelanjakan oleh rakyat Amerika Syarikat (AS) setiap tahun untuk membeli makanan di luar.

Tahun lalu, Impossible Foods yang berpangkalan di Silicon Valley bekerjasama dengan Burger King untuk melancarkan Impossible Whopper berasaskan soya di AS.

Impossible Foods kini sedang berusaha untuk menggandakan pengeluarannya berbanding cuba memenangi urus niaga berskala McDonald's, kata Brown.

Akhir September lalu, McDonald's melancarkan ujian dua minggu burger P.L.T. di Kanada, menggunakan daging dibuat oleh Beyond Meat.

Namun, McDonald’s masih belum menawarkan burger berasaskan sayuran sebagai menu tetap di 14,000 cawangannya di AS.

-Reuters

Berita Harian X