Jumaat, 3 Januari 2020 | 3:34pm

Qantas Airways dinamakan syarikat penerbangan paling selamat

SINGAPURA: Syarikat penerbangan dari rantau Asia Pasifik mengungguli kedudukan jenama penerbangan paling selamat dan tepat masa perjalanan.

Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways Ltd (Qantas Airways) dinamakan sebagai syarikat penerbangan paling selamat di dunia oleh AirlineRatings.com.

Qantas Airways mengungguli tempat pertama daripada senarai 20 syarikat penerbangan di seluruh negara, disusuli oleh Air New Zealand Ltd di tempat kedua dan Eva Airways Corp di tempat ketiga.

Manakala Singapore Airlines Ltd berada di tempat keenam, Cathay Pacific Airways (kesembilan) dan Virgin Australia Holdings Ltd di tempat ke-10.

Menurut AirlineRatings.com, ia mengambil kira faktor termasuklah audit oleh badan pentadbiran dan industri, rekod kemalangan dan insiden serius, keuntungan dan juga usia pesawat.

Sementara itu, dalam tinjauan berasingan oleh OAG Aviation Worldwide Ltd, PT Garuda Indonesia dianugerahkan syarikat penerbangan paling tepat waktu pada 2019.

Syarikat penerbangan Copa Airlines SA dari Panama pula tersenarai di tempat kedua antara syarikat yang tiba atau berlepas dalam tempoh 15 minit daripada jadual penerbangan.

Manakala Skymark Airlines Inc, Hawaiian Airlines Inc dan Latam Airlines Group SA turut tersenarai di dalam tempat lima teratas. Di kalangan syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat (AS), hanya Delta Air Lines Inc yang berjaya tersenarai dalam tempat 20 teratas.

Dalam perkembangan berkaitan, International Air Transport Association (IATA) berkata jumlah penumpang udara global akan berganda kepada 8.2 bilion menjelang 2037.

“Ia bakal dipacu oleh pertumbuhan ekonomi dan golongan pertengahan yang semakin berkembang. Lebih separuh daripada penumpang berkenaan akan datangnya dari rantau Asia Pasifik, diterajui oleh permintaan dari negara seperti China dan India.

“Dianggarkan 4.7 bilion orang dijangka mengembara tahun ini, peningkatan empat peratus dari 2019,” demikian menurut IATA pada Disember.

Bagi kategori lapangan terbang mega yang merujuk kepada pengendalian lebih 30 juta tempat duduk, OAG meletakkan Moscow Sheremetyevo di tangga pertama bagi prestasi masa terbaik tahun lalu.

Ranking berkenaan dicapai berdasarkan nisbah pesawat di setiap lapangan terbang yang tiba dan berlepas dalam tempoh 15 minit daripada jadual penerbangan.

Kontra dengan prestasi syarikat penerbangannya, lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan prestasi baik bagi aspek tepat masa.

Enam daripada 10 lapangan terbang tepat masa adalah di AS dengan Atlanta di tangga keempat, Seattle (kelima), Los Angeles (ketujuh), John F Kennedy di tangga ke-10 manakala lapangan terbang Bangkok dan Amsterdam tercicir daripada senarai. -Bloomberg

Berita Harian X