Jumaat, 3 Januari 2020 | 8:15am
Kapal Misi Pesisir (LMS) pertama iaitu Keris. - Ihsan Kementerian Pertahanan
Kapal Misi Pesisir (LMS) pertama iaitu Keris. - Ihsan Kementerian Pertahanan

Boustead serah kapal LMS pertama kepada TLDM

KUALA LUMPUR: Syarikat sekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menyerahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal pertama daripada empat unit kapal misi pesisir (LMS) yang dibina syarikat itu.

Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Datuk Ahmad Hussaini Abdul Rahman, menerima LMS1, ‘KERIS’, dengan disaksikan Komander Armada TLDM Timur, Datuk Syed Zahrul Putra Syed Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Ir Ee Teck Chee.

BNS memeterai kontrak perolehan dengan kerajaan pada 23 Mac 2017 bagi membina empat kapal LMS dengan kerjasama China Shipbuilding and Offshore International Corporation Ltd di China.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, LMS mampu beroperasi dalam pelbagai misi serta cuaca.

Dengan panjang 68 meter dan kelajuan maksimum 22 knots, LMS mempunyai 45 krew serta 16 anggota dalam satu unit atau ‘detachment’ dan ketahanan selama 15 hari di laut.

Sementara itu, Pengerusi Bukan Eksekutif BHIC, Laksamana (b) Tan Sri Ramlan Mohamed Ali, berkata kerjasama erat antara pasukan projek BNS dan LMS TLDM termasuk kemahiran serta keupayaan kakitangan terbabit menyumbang kepada kelancaran projek dan penghantaran yang tepat pada masanya.

"Semua pencapaian penting KERIS, yang membawa kepada penyerahan, dipenuhi mengikut jadual, daripada keluli pertama yang dipotong pada 31 Julai 2018 kepada pemasangan lunas kapal pada 23 Okt 2018 sehingga kepada pelancaran pada 15 April 2019," tambahnya.

Berita Harian X