Khamis, 2 Januari 2020 | 4:34pm

Jualan PROTON lepasi angka 100,000 unit tahun lalu

SUBANG JAYA: PROTON mengakhiri 2019 dengan cemerlang apabila menjual 100,821 unit kenderaan merangkumi pasaran eskport dan domestik, sekali gus melepasi angka 100,000 unit buat kali pertama sejak 2015.

Jumlah itu bersamaan peningkatan sebanyak 55.7 peratus berbanding 2018, meletakkan PROTON sebagai lima teratas bagi pertumbuhan jualan tertinggi pada tahun 2019 dalam kalangan jenama automotif di Malaysia.

PROTON menguasai 16.7 peratus pasaran, angka tertinggi sejak 2014.

Model-model PROTON menutup 2019 sebagai pilihan paling popular dalam segmen masing-masing.

Menerajui pertumbuhan jualan PROTON adalah model X70, serta empat model naik taraf yang dilancarkan pada 2019 dengan kenaikan peratusan jualan sebanyak dua angka.

Proton X70 mendapat jumlah jualan yang memberangsang sepanjang tahun pertama diperkenalkan dan mencatat rekod sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) premium terlaris di Malaysia.

Model berkenaan turut mengekalkan kedudukan sebagai yang teratas dalam segmennya sepanjang tahun dan mengakhiri 2019 dengan jumlah jualan 26,331 unit.

Selain itu, jualan Proton Saga juga terus meningkat sejak pelancarannya pada 6 Ogos lalu.

Model terkini dalam rangkaian PROTON itu sekali lagi menjadi sedan segmen A paling popular dengan keseluruhan jualan untuk 2019 adalah sebanyak 38,144 unit, bersamaan peningkatan sebanyak 36 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata Proton X70 dan Proton Saga menjadi pendorong utama di atas pertumbuhan jualan PROTON yang cemerlang tahun lalu.

“Kami berasa terharu dengan kedudukan Proton X70 sebagai model paling popular dan ingin berterima kasih kepada semua pelanggan syarikat di atas sokongan mereka, walaupun model berkenaan adalah segmen pasaran baharu bagi syarikat.

“Bagi Saga pula, dengan mendapat lebih 41,000 tempahan dan mungkin lebih lagi di masa hadapan, ia kekal sebagai produk utama syarikat dan pilihan paling popular dalam kalangan pelanggan tanpa mengira usia, status dan kuasa pembeli, menjadikannya sebuah kereta yang sesuai untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X