Khamis, 2 Januari 2020 | 1:21pm
Ketua Sime Darby Material Handling Sdn Bhd, Onn Ping Chou (tengah) di hadapan pejabat urusan syarikat yang dilantik pengedar eksklusif Hyster di Malaysia dan Brunei.
Ketua Sime Darby Material Handling Sdn Bhd, Onn Ping Chou (tengah) di hadapan pejabat urusan syarikat yang dilantik pengedar eksklusif Hyster di Malaysia dan Brunei.

Sime Darby Industrial dilantik pengedar eksklusif Hyster

KUALA LUMPUR: Sime Darby Industrial Sdn Bhd (SDISB) menerusi anak syarikatnya, Sime Darby Material Handling Sdn Bhd (SDMH) memeterai perjanjian pengedaran trak pengangkat bagi pengeluar global Hyster-Yale Group Inc.

Di bawah perjanjian, SDMH yang sebelum ini dikenali Tractors Material Handing Sdn Bhd akan menjadi pengedar eksklusif produk Hyster bagi pasaran Malaysia dan Brunei.

Pengarah Urusan SDISB, CK Teoh, berkata rangkaian pengedaran baharu itu akan memperluaskan penawaran produk bagi pasaran pengendalian barangan di bawah syarikat itu.

“Terdapat potensi besar dalam pertumbuhan pasaran pengendalian barangan menjangkaui trak pengangkat diesel. Penawaran barisan produk Hyster secara meluas akan membolehkan kami mengembangkan perniagaan lebih baik untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“SDMH juga akan memberi tumpuan lebih khusus untuk menembusi pasaran dan mendapatkan pelanggan baharu menerusi perkhidmatan pengendalian barangan lain yang ditawarkan Hyster,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Pasifik Hyster-Yale Group, Tony Fagg berkata, pengalaman luas SDMH dalam produk berkaitan perindustrian dan trak pengangkat menjadi asas kukuh untuk mencapai kejayaan jangka panjang dalam kerjasama yang dibentuk itu.

“Kepakaran tempatan SDMH dengan sokongan penyumberan global Hyster-Yale akan memenuhi semua keperluan pengendalian barangan pelanggan.

“SDMH akan menyampaikan pendekatan jualan komprehensif, berstruktur dan responsif untuk menyokong pelanggan runcit, armada dan akaun global.

“Organisasi perkhidmatan perindustrian mereka yang meluas akan meneruskan piawaian kualiti dan perkhidmatan yang diharapkan oleh pelanggan Hyster daripada jenama global yang dipercayai dalam pasaran pengendalian bahan,” katanya.

Hyster-Yale Group adalah peneraju dalam industri pengendalian bahan dengan kemudahan pengeluaran, servis dan pusat pembangunan produk di lima benua di seluruh dunia.

Ia memiliki kepakaran dalam semua aspek pengendalian bahan termasuk pengurusan penyimpanan, telematik dan proses perundingan.

Sejajar perjanjian pengedaran baharu itu, SDMH menamatkan perjanjian pengedaran dengan Mitsubishi Logisnext Asia Pacific Ltd (MLAP) menerusi jenama CAT Lift Truck berkuatkuasa 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, Teoh memberi jaminan SDMH tetap komited untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan CAT Truck dan armada CAT menerusi kontrak sedia ada dengan perkhidmatan jualan, bahagian dan sokongan produk terbaik selepas pasaran.

Baru-baru ini, SDISB mengambil alih Gough Group Limited, yang juga pengedar Hyster di New Zealand.

Berita Harian X