Rabu, 18 Disember 2019 | 3:57pm

Fiat, PSA jadi pengeluar kereta keempat terbesar dunia

PARIS/MILAN: Fiat Chrysler (FCA) dan pengeluar Peugeot, PSA bersetuju memuktamadkan penggabungan menerusi perjanjian bernilai AS$50 bilion (RM206.8 bilion), sekali gus membuka laluan untuk menjadi pengeluar kereta keempat terbesar dunia.

Dua firma automotif bersaiz sederhana yang belum menamakan syarikat baharu itu mengumumkan rancangan berkenaan enam minggu lalu, dengan kerjasama berkenaan akan membentuk semula industri global selepas pengeluar kereta terjejas dengan permintaan, susulan kelembapan ekonomi global.

Pengeluar kereta juga berdepan dengan isu kos bagi membangunkan model mesra alam selepas sasaran pelepasan emisi ditetapkan.

Penggabungan PSA-FCA yang menyasarkan penjimatan kos tahunan berjumlah 3.7 bilion euro (RM16.5 bilion) menerusi perkongsian teknologi dan perjanjian pembelian dijangka diselesaikan dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang, demikian menurut firma berkenaan dalam satu kenyataan.

Sebelum penguasaan kepentingan 50-50 dimuktamadkan, pemegang saham PSA dari China, Dongfeng Motor Group, akan mengurangkan pegangannya berjumlah 12.2 peratus dalam pengeluar kereta dari Perancis dengan menjual 30.7 juta saham kepada PSA.

Pegangan kepentingan itu berjumlah 679 juta euro (RM3.1 bilion) pada hrga penutup terkini dan Dongfeng akan memiliki penguasaan 4.5 peratus dalam syarikat baharu itu.

PSA dan FCA mengesahkan, sayarikat baharu akan memiliki 11 ahli lembaga pengarah berpengaruh dengan lima daripada dicalonkan oleh FCA.

Ia akan termasuk wakil kesatuan daripada kedua-dua syarikat.

Ketua PSA, Carlos Tavares, yang akan dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat baharu bagi tempoh lima tahun bakal diberikan kerusi tambahan dalam lembaga pengarah.

Bulan lalu, General Motors (GM) memfailkan tuntutan undang-undang mengejut ke atas FCA di Amerika Syarikat (AS) dengan dakwaan rasuah dalam kesatuan tidak menjejaskan terma penggabungan, kata Ketua Pegawai Eksekutif FCA, Mike Manley kepada media dengan menambah tuntutan itu “kurang merit”. - Reuters

Berita Harian X