Isnin, 16 Disember 2019 | 12:15pm

Kumpulan Media Prima memulakan pelan rasionalisasi

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Prima Berhad memulakan pelaksanaan pelan rasionalisasi tenaga kerja yang juga sebahagian daripada fasa transformasi perniagaan, seperti yang diumumkan pada 1 November lalu.

Struktur operasi baharu serta senarai nama kakitangan yang terbabit sudah ditentukan selepas beberapa sesi rundingan bersama Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Cawangan NSTP dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW) Cawangan NSTP.

Notis rasmi diberikan kepada kakitangan yang terbabit pada hari ini dan pembayaran pampasan akan dibuat secara penuh selepas proses dalaman dan kawal selia selesai.

“Kumpulan sudah memastikan pampasan yang adil dan saksama seperti tertakluk di bawah Akta Kerja, perjanjian bersama kesatuan masing-masing dan kontrak pekerjaan.

“Kumpulan juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada kakitangan termasuk perkhidmatan penempatan keluar dan kaunseling kerjaya,” kata Media Prima dalam satu kenyataan, hari ini.

Fasa seterusnya ialah pelaksanaan transformasi perniagaan, termasuklah penukaran model perniagaan dan penstrukturan dalaman.

“Ini bagi membolehkan Media Prima lebih berdaya saing dan mampan di masa hadapan, berikutan suasana ekonomi makro yang tidak menentu dan gangguan perubahan landskap media global dan domestik,” katanya.

Berita Harian X