Selasa, 10 Disember 2019 | 11:06am

Axis REIT raih RM63.84 juta

KUALA LUMPUR: Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) meluluskan cadangan penempatan sebanyak 37.12 juta unit baharu kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Dengan ini, Axis-REIT menempatkan seluruh peringkat kedua dan akhir penempatannya sebanyak RM1.72 seunit, untuk meraih RM63.84 juta.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Bhd, Leong Kit May, berkata penempatan itu bersamaan tiga peratus daripada jumlah 1.237 bilion unit yang diterbitkan sehingga 29 Oktober 2019.

“Seluruh hasil yang diraih akan digunakan untuk membayar balik pinjamannya, mengurangkan tahap kadar hutang Axis-REIT kepada 29 peratus selepas peringkat pertama dan kedua,” katanya.

Beliau berkata, tahap kadar hutang yang berkurangan akan memberikan Axis-REIT ruang yang mencukupi untuk meneruskan pengambilalihan baharu.

“Kami mahu terus memberikan pemegang unit agihan pendapatan yang stabil dan mencapai pertumbuhan nilai aset bersih seunit dengan membeli hartanah berkualiti tinggi dengan pendapatan sewa berulang yang kukuh,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X