X
Jumaat, 6 Disember 2019 | 5:36pm
Google akan mula mengenakan caj cukai perkhidmatan 6.0 peratus bagi perkhidmatan dan urus niaga digital di Malaysia bermula awal tahun hadapan. - Foto Reuters
Google akan mula mengenakan caj cukai perkhidmatan 6.0 peratus bagi perkhidmatan dan urus niaga digital di Malaysia bermula awal tahun hadapan. - Foto Reuters

Google mula kenakan cukai digital 6 peratus Januari ini

KUALA LUMPUR: Google akan mula mengenakan caj cukai perkhidmatan 6.0 peratus bagi perkhidmatan dan urus niaga digital di Malaysia bermula awal tahun hadapan.

Kebanyakan syarikat internet asing lain juga dijangka melaksanakan langkah itu sejajar dengan pelaksanaan cukai baharu itu di negara ini.

Syarikat enjin carian terkemuka global itu berkata, kutipan cukai itu dilaksanakannya bagi mematuhi undang-undang cukai di negara ini.

“Kami sentiasa mematuhi undang-undang cukai di setiap negara yang kami beroperasi, dan kami terus melakukannya apabila undang-undang cukai berkembang,” kata jurucakapnya dalam laporan yang disiarkan Nikkei Asian Review.

Malaysia memperkenalkan cukai sebanyak enam peratus pada 1 Januari 2020 bagi perkhidmatan digital seperti muat turun aplikasi dan streaming video dari pembekal asing yang melangkaui jumlah hasil tertentu di negara ini.

Langkah itu dilaksanakan bagi meningkatkan hasil cukai dan persaingan sihat untuk peruncit domestik.

Google dijangka mengambil langkah yang sama di Singapura, yang juga melancarkan cukai perkhidmatan digital pada Januari.

Cukai digital dijangka akan memberi kesan kepada perkhidmatan penstriman asing seperti Netflix dan Spotify, perkhidmatan pengiklanan digital yang ditawarkan oleh syarikat seperti Google dan syarikat pengedaran permainan digital seperti Steam.

Syarikat asing yang menyediakan perkhidmatan berkenaan dibenarkan mendaftar dengan Jabatan Kastam bermula dari 1 Oktober lalu.

Pendaftaran adalah mandatori apabila nilai perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat digital kepada rakyat di negara ini melebihi RM500,000 setahun.

Berita Harian X