Selasa, 3 Disember 2019 | 3:37pm
MOHD Muazzam Mohamed. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq
MOHD Muazzam Mohamed. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

Bank Islam tambah portfolio program vendor

Bank Islam Malaysia Bhd memperuntukkan sehingga RM1.3 bilion bagi program pembiayaan vendor (VFP) tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed, berkata ia mewakili peningkatan sekitar RM300,000 berbanding peruntukan RM1 bilion untuk program sama pada tahun ini.

Beliau berkata, penerima VFP 2020 akan dipertingkatkan kepada sektor telekomunikasi dan penjagaan kesihatan, tambahan kepada sektor minyak dan gas, serta tenaga ketika ini.

“Kami berhasrat memperluaskan portfolio perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pada masa sama meneroka kebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat besar lain menerusi program pembangunan vendor di samping memenuhi keperluan kewangan kepada vendor yang layak bagi membolehkan perniagaan mereka berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pemeteraian perjanjian kemudahan pembiayaan bernilai RM98.35 juta antara Bank Islam dan Setegap Ventures Petroleum Sdn Bhd (SVP) di sini, hari ini.

Bank Islam diwakili Ketua Perbankan Komersialnya, Ahmad Haliman Abdul Halim, manakala SVP diwakili Ketua Pegawai Elsekutifnya, Mohd Shahrin Saad.

Hadir sama, Pengerusi SVP, Datuk Nasri Nasrun.

SVP adalah vendor di bawah Program Pembangunan Vendor (VDP) PETRONAS.

Mohd Muazzam berkata, setakat November 2019, Bank Islam meluluskan kemudahan perbankan berjumlah RM332 juta kepada 82 vendor di bawah VDP PETRONAS, inisiatif direka khusus untuk vendor PKS yang memperoleh kontrak dengan syarikat minyak dan gas negara itu.

“Matlamat program ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan para vendor minyak dan gas dalam memenuhi kewajipan mereka dengan PETRONAS,” katanya.

Beliau berkata, selain PETRONAS, VFP Bank Islam juga disediakan kepada penggiat sektor tenaga menerusi kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd dan Sarawak Energy Bhd.

Berita Harian X