Isnin, 2 Disember 2019 | 4:22pm

AirAsia rancang restoran dan francais Santan, T&CO

KUALA LUMPUR: AirAsia akan mengembangkan lebih lima cawangan restoran Santan dan T&CO serta 100 restoran dan kafe yang dikendalikan secara francais ke pasaran global.

Pengembangan operasi jenama menu dalam penerbangan AirAsia itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Santan dan T&CO bakal mampu memasuki pasaran global termasuk Asean serta beberapa negara berpotensi lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Australia dan China.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata makanan adalah elemen sangat penting dalam kehidupan rakyat Malaysia dan jelas dapat dilihat dengan kejayaan AirAsia sebagai syarikat penerbangan pertama menjual makanan sendiri.

Selain itu, katanya AirAsia telah bekerjasama dengan pelbagai peserta untuk membuka restoran pertama Santan dan T&CO, berikutan masih baharu menyertai perniagaan rantaian makanan segera.

“Kami juga mahu menjadikan menu makanan ini dijual pada harga berpatutan dengan bekerjasama secara langsung dengan pembekal bagi mendapatkan kos lebih murah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran restoran Santan dan T&CO, di sini, hari ini.

Santan dan T&CO kini melancarkan restoran makanan segera Asean pertama di Kuala Lumpur, yang menawarkan pelbagai hidangan dan minuman dari Asean pada harga yang berpatutan

Pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama, Presiden Kumpulan AirAsia (RedBeat Ventures), Aireen Omar dan Pengurus Besar Restoran Santan dan Kafe T&CO, Catherine Goh.

Mengulas lanjut, Tony berkata, RedBeat Ventures (perniagaan digital bukan penerbangan) kini sedang melalui fasa pengembangan dan pihaknya perlu agresif untuk menerokai seluruh dunia seperti di London dan New York.

“Kami menerima banyak pertanyaan mengenai francais, justeru kami merancangkan untuk membuka francais Santan dan T&CO di China, tidak lama lagi.

“Selain itu, kami juga mempertimbangkan untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran bagi menu yang ditawarkan Santan dan T&CO menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan popular seperti GrabFood dan FoodPanda,” katanya.

Sementara itu, Goh berkata, pembukaan restoran pertama itu adalah permulaan hebat bagi jenama Santan dan T&CO dan pihaknya menerima permintaan tinggi bagi menu dalam penerbangan AirAsia di seluruh rantau ini.

“Kami akan terus menyokong pengeluar dan pembekal tempatan serta Asean; selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu dengan yuran francais berpatutan pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X