Jumaat, 22 November 2019 | 7:31pm
Pengasas syarikat penerbangan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto Syarafiq Abd Samad
Pengasas syarikat penerbangan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto Syarafiq Abd Samad

AirAsia tinjau tubuh syarikat sekutu di Kemboja, China, Myanmar

KUALA LUMPUR: Pengasas syarikat penerbangan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sedang meninjau dengan serius peluang untuk menubuhkan syarikat sekutu di Kemboja diikuti di China dan Myanmar.

“Saya gemar Kemboja, China dan Myanmar,” katanya dalam satu wawancara dengan Nikkei Asian Review, menambah yang beliau kini sedang mencari rakan di Kemboja.

Selepas tiga kali gagal dalam cubaan untuk menubuhkan syarikat sekutu di Vietnam awal tahun ini, Fernandes berkata beliau telah mengalihkan tumpuannya kepada negara lain di rantau ini.

“Saya tidak mempunyai apa rancangan di Vietnam buat masa ini selepas tiga kali mencuba.

“Kami tidak dapat mencari rakan kongsi yang tepat dan sekarang saya fikir sudah ada terlalu banyak syarikat penerbangan di sana,” katanya yang dilapor media kewangan berkenaan.

Undang-undang Kemboja tidak menyekat pemilikan asing dalam industri penerbangan tempatan, tetapi syarikat penerbangan baharu dikehendaki melabur sehingga AS$30 juta (RM125 juta) di negara itu untuk tempoh tiga tahun pertama dan ia tidak termasuk pesawat.

Populariti Kemboja yang semakin meningkat sebagai destinasi pelancongan telah menarik beberapa syarikat penerbangan China, dengan enam syarikat penerbangan kini dijadualkan beroperasi.

Terletak di luar ibu kota Phnom Penh, Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap di Kemboja adalah antara lapangan terbang tersibuk di Asia Tenggara.

Ia membawa 4.5 juta penumpang tahun lalu berikutan minat pelancong antarabangsa yang melonjak terhadap kompleks kuil Angkor Wat iaitu monumen agama terbesar dunia yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang itu.

"Kadang-kadang mudah untuk mendapatkan rakan kongsi yang boleh diharapkan, tetapi perlu dipastikan yang lapangan terbang boleh menampung pertumbuhan kami dan sama ada syarikat dapat menyampaikan cadangan unik ke pasaran," kata Fernandes. "Ia tidak selalunya mengenai lesen."

Untuk tempoh jangka panjang, Fernandes berkata beliau mahu AirAsia menubuhkan sebuah syarikat penerbangan di China, yang dilihatnya sebagai sebuah ekonomi mesra pelaburan asing.

Pasaran itu sudah pun menjadi penting untuk AirAsia, dengan kumpulan itu hampir mencatatkan 20 peratus daripada jualan tahunannya dari destinasi China.

"Kami perlu memastikan yang syarikat boleh menjadi relevan dalam pasaran yang begitu besar," kata Fernandes.

Di sebalik perancangan peluang pengembangannya, Fernandes juga sedang merancang untuk menjadikan syarikat penerbangannya sebagai syarikat yang diterajui teknologi melalui pelaburan tahunan sebanyak RM100 juta.

Beliau berkata AirAsia akan menjadi ‘syarikat penerbangan digital’ pada suku pertama tahun depan, dengan ia kini sudah hampir satu pertiga di landasan untuk mencapai sasaran itu.

Visi beliau termasuk mengubah platform tiket dalam talian AirAsia kepada pasaran perjalanan yang akan menjadikan syarikat itu sebagai "Amazon pengembaraan."

Syarikat itu turut merancang untuk melancarkan platform dalam talian yang mesra Muslim bagi merebut pasaran pelancongan halal dan patuh syariah global.

Portal itu, yang akan dikenali sebagai Ikhlas, akan dilancarkan tidak lama lagi dan akan mengandungi pelancongan, hotel dan restoran halal di seluruh dunia.

Berita Harian X