Khamis, 21 November 2019 | 8:11pm

Media Prima terajui sumber kandungan paling popular Malaysia

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) mengekalkan kedudukan sebagai peneraju sumber kandungan paling popular di Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Kumpulan media bersepadu itu dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, berdasarkan data Comscore, kumpulan kekal sebagai pilihan utama bagi kandungan mudah alih Malaysia dan pencapaian pengguna digital ketiga tertinggi selepas Google dan Facebook.

Katanya, portal berita di bawah Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) turut mencatatkan jumlah pelawat tertinggi khususnya portal Harian Metro yang merekodkan pelawat unik tertinggi di Malaysia bagi suku ketiga 2019.

myMetro mencapai 13.6 juta pelawat unik daripada Julai hingga September 2019, manakala BH Online catat 12.489 juta dan NST Online 5.882 juta pelawat unik dalam tempoh perbandingan yang sama.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata prestasi kumpulan secara keseluruhan berdepan dengan cabaran khususnya penurunan dalam pendapatan pengiklanan tradisional dan pengedaran.

Katanya, pendapatan pengiklanan tradisional dan pengedaran masing-masing menyusut sebanyak 15 peratus dan 21 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

“Secara keseluruhan perbelanjaan berhati-hati menyumbang kepada penurunan pendapatan kepada segmen perniagaan kumpulan.

“Menuju kepada bulan terakhir 2019, kami akan memacu ke fasa transformasi seterusnya untuk menyesuaikan perniagaan kami dengan perubahan pantas yang berlaku dalam sektor media,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, kumpulan akan mengekalkan pertumbuhan positif yang dicapai inisiatif digital dan perdagangan, serta mengambil langkah memperkemas kos dan kecekapan operasi.

Katanya, fasa perniagaan seterusnya mensasarkan untuk menyampaikan penyelesaian lebih efektif menerusi semua platform media kami bagi memenuhi permintaan industri media yang berkembang.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2019, pendapatan segmen beli-belah di rumah dan digital kumpulan meningkat sebanyak sembilan peratus manakala, pendapatan kumpulan dicatatkan sebanyak RM801.4 juta.

Berita Harian X