Isnin, 11 November 2019 | 7:35am

PETRONAS anjur simposium pertama bendalir EV di Itali

KUALA LUMPUR: PETRONAS Lubricants International (PLI) yang juga cabang pengeluar dan pemasaran minyak pelincir global PETRONAS, menganjurkan Simposium Bendalir Kenderaan Elektrik (EV) buat julung kali di Pusat Penyelidikan dan Teknologi Global (R&T) miliknya di Turin, Itali pada 7 November.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata simposium itu dihadiri lebih 120 peserta yang juga kalangan pakar peneraju industri dari serata dunia bagi membincangkan serta mengetengahkan inovasi EV yang menyokong masa depan e-mobiliti yang lebih bersih, cekap dan mampan.

Malah, simposium itu turut menjadi satu platform untuk kalangan pakar berkongsi arah aliran teknologi masa depan EV, pasaran serta peranan bendalir dalam evolusi penghantaran elektronik dan teknologi bateri.

“Pada simposium itu, PLI turut berkongsi dapatan kajian global pertama berhubung industri itu membabitkan Teknologi dan Bendalir EV dengan tumpuan terhadap Unit Pemanduan Elektrik dan Bateri.

“Kajian itu yang dijalankan menerusi kerjasama dengan FEV Consulting, merumuskan bahawa inovasi adalah penting bagi melonjakkan prestasi dan ketahanan EV. Sehubungan itu, penambahbaikan secara berterusan perlu dilaksanakan bagi menggalakkan lagi kadar penggunaan pengangkutan elektrik oleh orang ramai,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X