Jumaat, 8 November 2019 | 6:26pm
Alibaba menyasarkan untuk meraih dana sehingga AS$15 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Hong Kong. - Foto Reuters

IPO Alibaba di Hong Kong disasar raih AS$15 bilion

HONG KONG: Gergasi digital global, Alibaba menyasarkan untuk meraih dana sehingga AS$15 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) di Hong Kong, menjadikannya penyenaraian terbesar dalam sembilan tahun.

Urus niaga saham syarikat terbesar di Asia itu datang selepas protes besar-besaran di Hong Kong beberapa bulan ini yang menyebabkan penurunan ekonomi dan reputasinya sebagai hab kewangan.

Alibaba meninjau meraih antara AS$10 bilion dan AS$15 bilion menerusi IPO berkenaan, demikian menurut Bloomberg News yang memetik sumber.

Ia akan mengemukakan cadangan terhadap langkah itu, seperti yang dimandatkan oleh peraturan bursa saham Hong Kong, minggu depan.

Firma itu bagaimanapun enggan memberikan kenyataan semasa dihubungi AFP.

Alibaba, yang telah disenaraikan di Nasdaq di New York, merancang penyenaraian itu pada musim panas tetapi terpaksa menangguhkan perkara itu disebabkan protes dan perang perdagangan China dan Amerika Syarikat (AS).

Sekiranya penyenaraian itu berjaya, IPO sebanyak AS$15 bilion akan menjadi yang terbesar sejak gergasi insurans AIA menyenaraikan IPO bernilai AS$20.5 bilion pada 2010.

Penyenaraian kedua di Hong Kong itu juga akan memberikan petanda positif kepada Beijing, yang telah berusaha menggalakkan firma teknologi globalnya disenaraikan di pasaran serantau selepas Alibaba dan Baidu bertindak menyenaraikan saham mereka ke Wall Street.

Pihak berkuasa China meningkatkan langkah untuk menarik penyenaraian syarikat termasuk melancarkan kaunter teknologi baharu di Shanghai pada Julai. - AFP

Berita Harian X