Khamis, 7 November 2019 | 6:14pm

Rangka kerja MAVCOM tidak selari WKB 2030

SEPANG: Rangka Kerja Asas Aset Terkawal Selia (RAB) yang diusulkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dilihat tidak selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang bertujuan mewujudkan negara berpendapatan tinggi dan saksama, kata AirAsia.

Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan), Bo Lingam, berkata berbanding menawarkan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia dan mengurangkan kos penerbangan, RAB yang dirangka oleh MAVCOM sebaliknya menjauhkan orang ramai daripada menggunakan perkhidmatan penerbangan, sekali bertentangan dengan hasrat kerajaan.

“MAVCOM secara konsisten menekankan mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang sama antara KLIA dan klia2, semata-mata kerana kedua-dua terminal dianggap sebagai sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL).

“Satu fakta yang enggan diakui oleh MAVCOM dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah perbezaan besar yang amat ketara dalam tahap perkhidmatan dan kemudahan antara kedua-dua terminal berkenaan.

“RAB sepatutnya rangka kerja yang adil jika dilakukan dengan niat dan tujuan yang betul.

“Namun malangnya, kita menjangka pengagihan subsidi antara lapangan terbang yang membuat keuntungan dan yang rugi akan terus diamalkan di bawah kertas cadangan RAB ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bo menegaskan, AirAsia berpegang teguh kepada kesamarataan dan kesaksamaan, yang menjadi paksi kepada cara kumpulan menjalankan perniagaan.

MAVCOM dalam kenyataannya baru-baru ini berkata suruhanjaya itu

pada peringkat akhir untuk melengkapkan RAB yang akan menjadi asas bagi pembiayaan dan pembangunan rangkaian lapangan terbang di Malaysia.

Selepas rangka kerja ini diperkenalkan kelak, lebih 20 juta penumpang di Malaysia menikmati PSC lebih rendah.

Antara lapangan terbang yang dijangka mengenakan PSC lebih rendah ialah Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Sibu, Tawau, Lahad Datu, Kota Bharu dan Alor Setar.

Kajian terperinci mengenai rangka kerja RAB sejak 2017 membabitkan pihak berkepentingan seperti kementerian, syarikat penerbangan, syarikat pengendali lapangan terbang serta badan penerbangan antarabangsa dan institusi kewangan.

Berita Harian X